Polis siasat kes suspek rompak guna steyr
Oleh:
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
Tarikh: December 15, 2011
KUALA LUMPUR – Polis menyiasat bagaimana suspek rompakan yang ditembak mati selepas menyamun sebuah bank di Taman Muda, Pandan Indah, Ampang kelmarin, memperoleh senjata api jenis steyr.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, senjata jenis itu hanya digunakan agensi penguat kuasa kerajaan.
“Latar belakang menunjukkan suspek bukan tentera atau polis dan kita akan menyiasat di mana senjata itu diperoleh,” katanya pada Majlis Pelancaran Rondaan Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)-High Visibility di Taman Tun Dr Ismail, semalam.
Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam dan dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Salleh Mat Rasid serta Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Mohd Bakri berkata, suspek yang berusia 27 tahun itu tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Beliau turut menafikan suspek saki baki Geng Steyr yang ditumpaskan tahun lalu.
“Kita percaya suspek bergerak sendiri dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan selepas cuba melarikan RM253,000.