KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota polis berpangkat koperal bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan wang berjumlah RM10,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun tersebut yang bertugas di Klang ditahan pada jam 4 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

"Anggota tersebut dipercayai meminta dan menerima wang RM10,000 sebagai balasan melepaskan orang awam yang ditahan atas kesalahan dadah," katanya.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.