SUNGAI PETANI – Kegiatan dua penjenayah melakukan samun di dua lokasi berbeza hanya dalam tempoh 15 minit terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam perbuatan mereka, tular di media sosial.

Kejadian pertama berlaku di kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya pada jam 7 pagi semalam manakala kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Sayang merupakan lokasi kedua menjadi sasaran penjenayah sama, 15 minit kemudian.

Kedua-dua lokasi dianggarkan berjarak kira-kira lima kilometer.

Suspek pada mulanya mendekati dan berbual dengan mangsa, seorang wanita berusia 37 tahun dengan alasan baju yang dibasuh telah hilang.

Namun, secara tiba-tiba lelaki itu mengacukan parang selepas cubaannya merampas beg tangan mangsa gagal.

Suspek turut mengarahkan agar barangan berharga diserahkan sementara seorang lagi suspek yang tiba-tiba muncul meragut rantai leher dengan menyelak tudung mangsa sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Kedua-dua suspek kemudian menjadikan kedai runcit 24 jam sebagai sasaran kedua.

Mereka masuk ke kawasan kaunter pembayaran dengan mengacukan parang ke arah leher pekerja.

Akibat ketakutan, pekerja mengikuti arahan suspek yang meminta agar laci dibuka sebelum mereka melarikan wang tunai lebih RM1,500.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, kejadian pertama membabitkan kerugian RM10,000.

Antaranya, gelang dan rantai emas, dua bentuk cincin, telefon bimbit serta barangan peribadi mangsa disamun. Suspek juga melarikan kunci kereta Persona, kad pengenalan, kad ATM dan kad kredit.

Menurutnya, kejadian kedua membabitkan kerugian RM4,500.

“Suspek dipercayai mengacukan parang ke leher pekerja. Kerugian membabitkan dua telefon bimbit dan beg silang dan wang tunai sebanyak RM1,500 yang dilarikan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-dua kes adalah berkaitan dan membabitkan suspek yang sama menggunakan kenderaan jenis Proton Saga Aeroback yang nombor pendaftarannya ditutup.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Polis meminta mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat segera melaporkan kejadian agar dapat membantu siasatan.