FILEM Tombiruo: Penunggu Rimba terus mendapat sambutan hangat daripada peminat filem Melayu apabila berjaya mengutip RM4 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan sejak 12 Oktober lalu.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar mengesahkan berita baik itu.

"Alhamdulillah setakat ini filem Tombiruo melepasi RM4 juta untuk kutipan 'box office'. Bagi pihak penerbit kami berasa terharu dengan sambutan daripada penonton terhadap filem ini," katanya.

Dalam senario kutipan filem yang tidak menentukan, karya diadaptasi dari novel terkenal berjudul sama tulisan Ramlee Awang Murshid itu berjaya mencatat kutipan RM2 juta dalam tempoh empat hari tayangannya.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa bangga mereka terhadap filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang disifatkan setaraf filem antarabangsa.

"Tombiruo is not everyday movie. Superb, jalan cerita tersusun, kemas.  Cinematography cun, fighting scene pun gempak. Almost perfect 10," kata @mMizeeRex di laman Twitter.

"Filem #tombiruo best gilo!!!!! Kudos (tahniah) untuk semua pelakon, pengarah, crew dan Ramlee Awang Murshid! Filem terbaik tahun ni. Puas hati! 5 bintang!" kata @amriomel pula di laman sama.

Ratusan lagi pelayar di laman sosial, Facebook menzahirkan perasaan puas hati selepas menonton Tombiruo.

"Bukan nak cakap apa la den pi sano tengok wayang dengan keluarga den raso banggo ini filem bukan dari omputeh ini anak Melayu buat lakonan mantap..." kata Haikal.

"Filem yang bukan sempurna, tapi boleh dikatakan ini filem yang terbaik Malaysia hasilkan untuk tahun ini. Ada peningkatan.

"Filem malaysia yang terbaik dan memukau pada masa ni... Memang best. Tak rugi keluar duit beli tiket dan tonton filem ini. Rating 9/10," jelas Sham pula.

Berdasarkan maklum balas baik yang diterima, dijangkakan kutipan akan terus meningkat pada tayangan hujung minggu ini.

Sementara itu, pencapaian dan penerimaan orang ramai terhadap filem versi adaptasi berkenaan dianggap suatu yang membanggakan oleh Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC).

"Kami berbangga dengan pencapaian filem Tombiruo setakat ini dan penerimaan orang ramai terhadap versi adaptasi ini. Para peminat novelis Ramlee Awang Murshid yang dikenali sebagai RAMians  telah memberi sokongan di luar jangkaan," kata Ketua Eksekutif RAMbassador, Noorsyeila Bibi Mohamed Din.

Noorsyeila berkata, orang ramai menggunakan hashtag #RAMianskepawagam dan #WajibTontonRAMians sebagai satu tindak balas yang positif.

"Ini menunjukkan pembaca buku boleh dibawa ke pawagam dengan promosi yang tepat. Tentu sahaja kutipan ini lebih bermakna kepada Ramlee Awang Murshid. Beliau selalu mengingatkan kami supaya sentiasa berdoa dan bersyukur dengan pemberian nikmat dari ALLAH.

"Kami berbangga beliau masih orang yang sama seperti yang kami kenali dari dulu. Insya-ALLAH.

"Kami berdoa semoga kutipan ini akan terus meningkat dan Ramlee Awang Murshid dapat menghasilkan filem yang lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Tombiruo: Penunggu Rimba mengisahkan mengenai Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba. Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci oleh penduduk kampung.

Filem aksi itu dibintangi pelakon mantap terdiri daripada Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Datuk M.Nasir dan ramai lagi.

Tombiruo diarahkan oleh Seth Larney bersama pengarah bersekutu, Nasir Jani dan menyaksikan gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan berkolaborasi buat kali pertama selaku penerbit.