Hampir sedekad tidak mengeluarkan sebarang album baru, kumpulan legenda rock terkenal tanah air, Wings bakal memperkenalkan album berjudul Menakluk Kosmos.

Menariknya, album yang dijangka siap pada September ini menyaksikan Wings bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Music Group.

Teruja dengan kerjasama di bawah pihak pengurusan kumpulan trio adik beradik KRU, Awie selaku vokalis Wings berharap usaha itu dapat memberikan kelainan kepada album baru mereka.

Merasakan banyak perkara perlu diberi perhatian bagi menghasilkan album terbaik, Awie bagaimanapun yakin dengan pengurusan syarikat rakaman itu yang sememangnya cemerlang dalam soal publisiti dan pemasaran.

“Selepas 10 tahun tidak hasilkan produk baru, semestinya kami mahukan album yang terbaik kali ini. Sedar kami memerlukan strategi promosi yang kuat untuk perkenalkan album baru ini, kami sepakat menerima lamaran bernaung di bawah KRU Music,” katanya.

Mengaku mengambil masa yang lama untuk bersetuju menerima tawaran pihak KRU Music, Awie berkata, Wings bagaimanapun berpuas hati dengan kontrak yang disediakan setelah beberapa perubahan dilakukan.

Katanya, sebelum ini, mereka juga ada menerima lamaran daripada syarikat rakaman lain untuk menerbitkan album terbaru mereka, namun tawaran yang diberi tidak menepati kehendak mereka.

Bercerita mengenai pembikinan album Menakluk Kosmos, Awie memberitahu masih mencari material untuk dimuatkan dalam album tersebut.

“Sukarnya penghasilan album kali ini ialah kami perlu mencari muzik yang sesuai dengan cita rasa peminat sekarang, namun kami masih lagi kekalkan konsep muzik yangdibawakan oleh Wings selama ini,” katanya yang telah merakamkan beberapa lagu untuk album tersebut.

Selain Awie, Wings turut dianggotai Joe (gitar), Eddie (pemain bass) dan Black (pemain dram).

Pelaburan besar KRU

DALAM pada itu, Pengarah Eksekutif KRU Music Group, Norman Abdul Halim berkata, syarikatnya sanggup membuat pelaburan besar bagi pastikan Wings berada di bawah naungan mereka.

Katanya, mereka mengambil masa setahun bagi sesi perbincangan kontrak ikut persetujuan masing-masing.

“Pihak KRU akan menumpukan aspek penerbitan, pemasaran dan juga rangka promosi album, sementara Wings menentukan sendiri konsep album mereka,” katanya yang merasakan pelaburan pihaknya berbaloi dengan status Wings sebagai kumpulan legenda rock terkenal tanah air.