KETIKA ini ramai yang memperkatakan mengenai kehebatan filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang telah berjaya mengutip RM2 juta dalam masa empat hari tayangan. Satu petanda baik filem ini akan terus mendapat sambutan di pawagam.

Reaksi penonton turut memberikan komen positif iaitu seperti filem bertaraf antarabangsa.  

Gempal juga sudah menonton filem ini dan turut bersetuju dengan komen-komen membina terhadap filem Tombiruo yang Gempal yakin boleh pergi jauh mewakili Malaysia.   

Tombiruo, Gempal yakin akan mengikut jejak langkah filem Polis Evo, The Journey dan Ola Bola yang dianggap sebagai filem bermutu dan berjaya dari segi kutipan panggung.  

Terlanjur menyentuh mengenai Ola Bola, baru-baru ini Enfiniti telah mengumumkan barisan penuh pelakon Muzikal OlaBola yang bakal dipentaskan pada 8 Februari sehingga 11 Mac 2018.

Antara barisan pelakonnya adalah Luqman Hafidz, Lim Jian Wen, Brian Chan, Abimanyu Masilamani, Kai Chalmers dan penyanyi rap Altimet sebagai barisan utama.  

 

Turut menyertai barisan bintang-bintang ini adalah Iedil Putra sebagai Rahman dan Melissa Ong sebagai Chow Mei Ling. Juga termasuk pelakon dan penari Emma Toh dan pemenang Miss World Malaysia 2015, Brynn Zalina Lovett,

Kumpulan tarian jalanan yang banyak memenangi anugerah, Giller Battle Crew yang terdiri daripada tiga beradik yang berasal dari Sabah – Khenobu, Weskarnain dan Juicy Mohd Yasin serta penari-penari hip hop terkenal Budak Joget, yang diketuai oleh Pembantu Jurureka Tari Muzikal OlaBola, Fuzz Wayne.

Wow melihat kepada barisan pelakon-pelakon yang terlibat, nampaknya semua mempunyai kekuatan tersendiri.     Pengasas Kumpulan Enfiniti dan Pengarah Muzikal OlaBola, Tiara Jacquelina berkata,  beliau amat kagum dengan bakat-bakat dari dalam dan luar Malaysia yang hadir ke uji bakat pada Ogos lalu di mana lebih 300 orang telah hadir, dan uji bakat tersebut berlangsung sehingga lewat tengah malam.

"100 orang telah disaring dipanggil semula, di mana mereka perlu diuji bakat sekali lagi, dan akhirnya kami memilih 40 yang terbaik. Bagi saya, ini memang barisan yang diimpikan. Mereka pasti akan memukau penonton melalui persembahan mereka Februari akan datang," jelasnya.  

Muzikal OlaBola adalah merupakan muzikal epik rap dan hip-hop pertama di Malaysia, cukup segar dan berbeza daripada produksi Malaysia yang lain.

Penjualan tiket telah bermula pada Isnin, 16 Oktober 2017. Sebagai promosi pembelian awal, sejumlah tiket terhad untuk bahagian auditorium terpilih yang asalnya berharga RM250 akan boleh didapati pada harga diskaun RM150. Promosi boleh didapati sehingga 16 November 2016, sementara masih ada.

Gempal respek dengan semangat yang ditunjukkan oleh Tiara.  Dia sentiasa menghasilkan yang terbaik dalam setiap karyanya, sebab itulah persembahan pasti berjaya serta dikagumi.  

Semangat inilah yang kita perlu sokong untuk karyawan-karyawan kita terus menghasilkan yang terbaik bukan sahaja untuk memenuhi kepuasan diri tetapi juga untuk mengharumkan nama negara.

GEMPAL: Suka lakonan Farid Kamil dalam Tombiruo