LUMRAH bagi pasangan berkahwin pastinya mengimpikan cahaya mata yang akan menjadi penyeri dalam kehidupan mereka.

Begitu juga dengan pelakon Aku Masih Dara, Raja Farah, 25, setelah mendirikan rumah tangga bersama Megat Bashirun Qayyum, sejak tiga tahun lalu.

Menurut Farah, sebagai wanita, dia sememangnya teringin untuk bergelar ibu, namun buat masa ini dia hanya mampu berserah pada Ilahi.

"Siapa tidak mahu anak, baik saya atau suami, masing-masing hanya mampu berdoa dan terus berusaha.

"Pelbagai jenis rawatan tradisional dan juga moden sudah kami lakukan, tapi sehingga kini masih belum ada rezeki.

"Bagaimanapun, hasil rawatan menunjukkan kami berdua tidak mempunyai masalah tentang tahap kesuburan. Mungkin ini dugaan untuk kami," ujar Farah.

Tambah Farah, sebelum ini, dia pernah merasa tertekan apabila sering ditanya tentang zuriat. Sementelah ia menjadi persoalan utama bagi sesiapa saja yang mendekatinya.

"Dulu memang saya tertekan, tetapi sekarang saya dah jadi 'lali' dengan semua itu.

"Alhamdulillah, keluarga kami sangat memahami. Mereka tidak pernah mendesak mahupun bertanya.

"Sebaliknya, mereka sentiasa memberikan kami semangat untuk terus berusaha," katanya yang pernah merancang untuk mengambil anak angkat.

Sibuk mengacara

Sempat berkongsi karier terbarunya, Raja Farah memberitahu, dia baru sahaja selesai mengacarakan program Siri Jelajah Rasa Halal Antarabangsa musim terbaru untuk saluran Astro Oasis.

Menurut Farah, dia begitu gembira ketika diberi tawaran bagi menjayakan program tersebut.

"Saya sangat teruja ketika diberi tawaran tersebut. Mengendalikan rancangan ini sedikit dapat mengenali budaya pelbagai negara yang dilawati.

"Melalui rancangan ini sedikit sebanyak saya dapat menimba pengalaman di negara orang dan memperluaskan lagi bidang pengacara dengan lebih mendalam.

"Walaupun sebelum ini saya pernah menjadi pengacara pelbagai jenis seperti Soal Wanita Bual Bicara yang ditayangkan di TV Al-Hijrah, tawaran yang diterima sebegini ia dapat meningkatkan lagi minat yang sedia ada" katanya.

Kata Farah lagi, gandingan bersama Akhtar Sahari mampu memberi kelainan tersendiri buat penonton.

"Rancangan yang dilakukan secara spontan tanpa menggunakan sebarang skrip, sekali gus dapat menarik minat penonton," kata Farah.

Dalam pada itu, Farah memberitahu, dia masih rancak menerima tawaran lakonan meskipun sudah berhijab.

"Alhamdulillah, keputusan saya untuk berhijab tidak pernah menyekat tawaran seni yang datang.  

"Sekarang saya ada menerima lima tawaran lakonan antaranya sebuah telefilem yang bertajuk Siratul Mustaqim.

"Walaupun waktu agak terhad dan jadual saya semakin padat, namun ia tidak menghalang saya untuk menerima sebarang tawaran lakonan," katanya.

Raya di Kelantan

Ditanya mengenai persiapan menjelangnya Syawal, Farah berkata, segala persiapan belum dilakukan lagi kerana sibuk dengan kariernya dalam bidang lakonan dan juga pengacara.

Menurutnya, segala persiapan Aidilfitri akan dilakukan selepas semua kerjanya selesai nanti.

"Ini merupakan tahun ketiga saya beraya bersama suami. Keseronokannya sememangnya tidak dapat digambarkan.

"Tahun ini, saya akan menyambut raya pertama di kampung suami di Kelantan. Selepas itu kami berdua akan beraya di kampung saya di Negeri Sembilan," katanya.