MENELITI perjalanan karier nyanyiannya, bakat yang dimiliki bintang kelahiran program Akademi Fantasia Musim ke-7, Hafiz Suip bukanlah calang-calang. Ini terbukti pada usianya yang mencecah 24 tahun semalam, pelbagai kejayaan dalam industri seni tanah air telah dicapai.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kejayaan yang saya kecapi hari ini.

“Kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan juga peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis Doa Kesyukuran Sempena Kejayaannya Sepanjang 2013, bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai kejayaannya itu, perjuangan pelantun ‘Bahagiamu Deritaku’ ini tidak hanya terhenti di situ apabila dia turut menanam azam melebarkan sayap kariernya sehingga ke luar negara.

“Kalau boleh, tahun ini saya berazam untuk lebarkan lagi sayap karier saya dengan membawa nama industri tanah air ke luar negara seperti mana yang dilakukan beberapa artis lain seperti Yuna, Shila Amzah dan juga Datuk Siti Nurhaliza.

“Buat masa sekarang, saya berada pada peringkat permulaan dan masih merangkak untuk cuba tembusi pasaran Indonesia.

“Walaupun agak sukar, namun dengan bantuan dan peluang yang diberi pihak Warner Music di Indonesia, single saya bersama Datuk Rossa diterima baik di sana dan itu adalah langkah pertama saya,” jelasnya yang bakal tampil dengan single terbarunya berjudul ‘Kesimpulan’.

Sempena ulang tahunnya yang ke 24, semalam, Hafiz akan meraikannya bersama kira-kira 50 orang peminat dengan melakukan aktiviti santai di Bukit Cerakah, Shah Alam pada Ahad ini.

Bakal jadi komposer

Bersyukur dengan kejayaan 25 anugerah yang diperoleh, Hafiz akui itu bukanlah perkara utama yang dikejarkan.

“Sebenarnya tujuan saya berada dalam industri ini adalah untuk mengangkat karya-karya hebat ke peringkat yang baik. Bagi saya penerimaan anugerah itu adalah satu bonus bagi kerjaya saya sebagai seorang penyanyi,” katanya.

Hafiz memberitahu selain menyanyi, dia juga kini cuba berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu ciptaannya sendiri.

“Setakat ini saya baharu hasilkan lirik dua buah lagu dalam album pertama iaitu ‘Deklamasiku’ dan ‘Mungkinkah’.

“Secara jujur saya agak takut untuk kerana ramai komposer yang lebih hebat. Banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki,” katanya yang turut berhasrat untuk mengadakan konsert solo berskala besar jika diberi peluang.

Rahsia identiti teman wanita

Tidak pernah menyorokkan status hubungan cinta, Hafiz akui kini dia sedang mengenali seorang gadis yang dikenalinya sejak lebih kurang lima tahun lalu.

Walaupun lebih terbuka mengenainya, Hafiz bagaimanapun enggan mendedahkan identiti teman wanitanya kerana mahu menghormati privasi kekasihnya itu.

“Saya akui sudah berteman tapi saya tidak mahu menguar-uarkan identitinya kerana menghormati dia dan keluarganya. Dia adalah orang paling P&C dalam hidup saya sekarang.

“Tambahan pula dia seorang pelajar, jadi saya tidak mahu mengganggu privasinya,” jelasnya.

Biarpun akui sedang menjalani hubungan yang serius, Hafiz masih belum bersedia menamatkan zaman bujangnya.

“Kami masih lagi berkenalan dan untuk ke peringkat yang lebih serius (berkahwin) saya belum bersedia kerana saya masih ada banyak komitmen yang perlu diselesaikan.

“Insya-ALLAH, kalau semuanya sudah lengkap saya akan tamatkan zaman bujang. Sasaran saya sebelum mencecah usia 30 tahun,” katanya yang mengharapkan hubungan itu sentiasa direstui oleh ibu bapanya.