SELEPAS tampil dengan album Forgive Me pada 2012, kini Maher Zain kembali dengan buah tangan terbaharunya berjudul One.

Baru-baru ini, penerbit album Maher Zain iaitu Awakening Records yang beroperasi di London telah mengumumkan pelancaran album penuh ketiga penyanyi kelahiran Lubnan ini.

Album ini dilancarkan serentak di seluruh dunia termasuk Malaysia dan sudah semestinya album ini pasti dinanti-nantikan oleh peminat setianya.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana album ketiga saya ini berjaya dilancarkan baru-baru ini. Ia merupakan penantian yang agak lama, walau bagaimanapun saya berharap ianya berbaloi.

"Banyak perkara yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan saya bersyukur dapat mengadakan persembahan di seluruh dunia dan bertemu dengan ramai orang-orang yang hebat dan tempat-tempat yang menakjubkan. Di situlah saya mendapat inspirasi dan ilham bagi menghasilkan lagu-lagu dalam album terbaru ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Album yang memuatkan 15 lagu itu turut menampilkan beberapa kolaborasi bersama beberapa artis lain.

"Album terbaru ini menyajikan lagu-lagu yang berkonsep lebih bervariasi dan universal. Dari sudut vokal dan penghasilan lagu pula adalah lebih matang.

"Apa yang lebih menarik, beberapa artis seperti Amakhono We Sintu penyanyi dari Afrika Selatan, Atif Aslam dari Pakistan, Mustafa Ceceli dari Turki dan Issam Kamal dari Maghribi turut menyumbangkan suara mereka menerusi beberapa lagu dalam album ini," jelasnya.

Tambah Maher lagi, album ketiga itu turut mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan lagu-lagunya juga dirakam di pelbagai negara seperti di Sweden, United Kingdom, India, Turki, Mesir, Maghribi dan Afrika Selatan.

Pengarah Urusan Awakening Records, Bara Kherigi memberitahu tajuk One dipilih kerana ia berbentuk motivasi.

"Apa yang memotivasikan kita semua dalam hasil kerja kita ialah atas satu kepercayaan kepada satu Tuhan, satu dunia dan kesatuan dalam kemanusiaan," katanya.

Album ini diterbitkan dalam tiga versi berbeza untuk pasaran dunia iaitu Bahasa Arab, Bahasa Turki dan bahasa Inggeris untuk antarabangsa yang juga dipasarkan di Malaysia.

Boleh diperoleh dalam pelbagai format seperti CD audio, muat turun digital di Itunes dan Amazon, streaming di Spotify dan Deezer, serta boleh juga dibeli secara atas talian di inteammobile.com.

Album yang berada di pasaran sejak minggu lalu turut boleh diperoleh dalam bentuk CD audio dengan harga RM27.90 edaran eksklusif Inteam Records Sdn Bhd

Di Malaysia, nama Maher Zain sudah tidak asing lagi hingga  pernah menerima Anugerah Platinum untuk jualan album terlaris di Malaysia berjudul Thank You Allah yang mencecah 300,000 unit jualan dan seterusnya album kedua berjudul Forgive Me yang terjual sehingga 100,000 unit.