NAMA Eyra Rahman dalam arena pengarahan tidak perlu diperkenalkan lagi.

Antara karya cemerlangnya dalam arena pengarahan adalah menerusi filem Aku Terima Nikahnya (2012), Becinta (2013), Pengantin Malam (2014) dan banyak lagi.

Seterusnya selepas tampil dengan filem komedi, Suamiku Jatuh Dari Langit tahun lalu, kini Eyra kembali semula dengan sebuah lagi filem komedi, Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi.

Filem yang menyaksikan penampilan pertama kali Atikah sebagai teraju utama ini turut dijayakan Hafreez Adam, Aizat Hassan, Kartina Aziz dan Abdul Rani Kulup Abdullah.

Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi mengisahkan Sapura (Atikah) seorang peguam, bercinta dengan seorang pelakon yang sedang meningkat naik iaitu, Eddie (Hafreez).

Dunia mereka yang berbeza membuatkan Sapura sering rasa tergugat dengan hubungan percintaan mereka lebih-lebih lagi Eddie sering digosipkan dengan seorang pelakon bernama Maya (Julia).

Atok Sapura, Tok Daddy (Rani Kulup) dan nenek Sapura, Nanny Rockie (Kartina) atau nama sebenarnya Nek Rokiah membesarkan adik Sapura yang lain iaitu Akim, Afiq dan Sarah selepas kematian ibu serta ayah mereka.

Akim, Afiq dan Sarah tahu tentang hubungan percintaan kakaknya itu, namun mereka membantah perhubungan mereka kerana sikap Eddie yang tidak menyenangkan mereka.

Hisham (Aizat), rakan baik Sapura sejak kecil telah menyimpan perasaan terhadap Sapura. Hisham memang sayangkan Sapura namun, tidak pernah memberitahu Sapura. Hisham juga sangat rapat dengan atuk dan nenek Sapura.

Pada suatu malam, di hari jadi Sapura, satu kejadian yang tidak disengajakan telah berlaku. Eddie telah tersasul menyebut nama ketika menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.

Oleh kerana marah dengan kejadian itu, Sapura membawa dirinya ke kampung. Eddie juga turut pulang ke kampung Sapura untuk memujuk Sapura.

Namun, adik-beradik Sapura mempunyai rancangan lain untuk merosakkan hubungan mereka. Ini kerana, mereka merasakan Sapura lebih layak bersama Hisham.

Penulis yang berkesempatan menonton filem tersebut baru-baru ini menyifatkan ia adalah sebuah filem ringan, namun masih menghiburkan.

Dengan keletah tiga pelakon cilik dan juga penampilan pertama kali Rani Kulup di layar perak, penulis melihat filem ini sesuatu yang baharu dan menarik untuk disampaikan.

Perjalanan cerita yang santai juga membuatkan penonton tidak pening kepala dengan plot yang cuba disampaikan.

Biarpun sudah boleh dijangka perjalanan dan pengakhirannya, namun ia bukanlah sebuah filem yang bosan untuk ditonton.

Rani Kulup tidak mengecewakan

Secara jujurnya, antara sebab lain penulis berminat menonton filem ini adalah kerana penampilan Rani Kulup di dalam filem ini.

Biarpun babak melibatkan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia itu tidak banyak, namun sebagai orang baharu di dalam bidang lakonan, pembawaan Rani Kulup boleh diterima.

Bahkan penulis merasakan, bagai satu pemilihan yang menarik buat Eyra kerana memilih Rani Kulup sebagai salah seorang terajunya.

Manakala lakonan pelakon utama, Atikah, pada pandangan penulis juga tidak terlalu mengecewakan.

Sebagai pelakon yang sudah banyak membintangi filem dan drama, biarpun bukan watak utama, lakonan Atikah nampak semakin matang dan berkesan.

Cuma watak sedih adakalanya tampak terlalu di buat-buat atau mengada-ngada secara bahasa pasarnya.

Namun secara keseluruhan, ia masih menarik untuk ditonton bersama seisi keluarga.


PENGARAH : Eyra Rahman
PELAKON : Atikah Suhaimie, Hafreez Adam, Aizat Hassan, Kartina Aziz & Abdul Rani Kulup Abdullah.
GENRE : Komedi
DURASI : 1jam 34minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 17 Mac 2016
KESELURUHAN : * * *