PELAKON dan penyanyi, Hannah Delisha memberitahu dia pernah menerima komen yang mendakwa dirinya seorang yang sombong.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Hannah, 22, berharap peminatnya tidak salah faham andai ada yang mendakwa dirinya seperti yang diperkatakan.

"Ada juga yang cakap saya sombong, pun  begitu, saya tak ambil pusing sangat sebab saya faham segelintir netizen yang komen tu hanya suka-suka.

"Saya baca dan tengok juga profil yang bercakap tu, tapi sebenarnya orangnya tak wujud pun... Mungkin juga ada mulut-mulut yang sengaja mengada-adakan cerita.

"Jadi bila dah macam itu, tentu ada segelintir yang menganggap saya orangnya sombong. Saya tak sombong...," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, kata-kata kasar atau kesat akan dipadam serta-merta.

Hannah ditemui ketika sesi jelajah bertemu peminat Mega Drama Alamatnya Cinta di Sunway Putra Mall, pada Isnin lalu.

Bercakap mengenai lakonan kali pertama dengan rakan gandingannya iaitu Hisyam Hamid, aktres itu memberitahu, mereka berjaya mendapatkan keserasian demi menghidupkan watak Ellie dan Faliq.

"Walaupun kali pertama berlakon dengan Hisyam, tapi rasanya kami dapat cipta keserasian bersama.

"Malah kami selalu bertukar idea dan bila berlakon Hisyam seorang yang sangat memberi respon," ujar Hannah.

Ia disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria 104. Antara barisan artis terdiri daripada Alicia Amin, Fahad Iman, cik Manggis, Jad Hidhir, Yusry Abd Halim, dan Jasmine Suraya serta ramai lagi.