SEJAK mengikat tali pertunangan pada 1 Jun lalu, tiada apa yang lebih mengujakan aktres berbakat besar, Fouziah Ghous selain menghitung hari menuju hari bahagianya.

Memilih hujung tahun ini untuk disatukan, jelas Fouziah, dia sudah mula memperlahankan karier seninya bagi memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinannya.

"Jumaat lalu saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Alam Maya untuk TV9. Ia juga merupakan projek akhir saya buat masa ini.

"Saya sudah mula mengambil cuti bagi memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinan saya dan saya juga sudah mula membeli beberapa barang yang kecil untuk majlis nanti," ujarnya yang ditemui pada majlis perkahwinan Datuk Ida Suraya Mustapha dan Kapten Johari Jumadi di Hotel Royale Chulan, kelmarin.

Mengakui amat teruja menanti hari bahagianya, Fouziah berkata, dia akan mula duduk berbincang dengan perancang perkahwinan pilihannya, Nas Great Idea beberapa hari lagi.

"Sebelum ini Nas Great Idea juga yang bertanggungjawab menguruskan majlis pertunangan saya, jadi saya mengambil keputusan mengekalkan abang Nas dan dia akan bertanggungjawab menguruskan hari perkahwinan saya pula.

"Buat masa ini tidak banyak yang boleh saya ceritakan lagi kerana perbincangan masih belum dilakukan. Saya khuatir jika maklumkan lebih awal dan perancangan berubah, nanti ada percanggahan pula.

"Biarlah segalanya pasti dahulu, sebab sebelum ini abang Nas sibuk menguruskan perkahwinan Datuk Ida dan selepas ini barulah boleh kami berbincang mengenai perkahwinan saya pula," katanya yang hadir bersama tunang, Zhafran Yusof atau lebih mesra di sapa Zhaf.


Belum tetap tarikh

Menyentuh mengenai tarikh perkahwinannya, ujar Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd Gous, 31, sehingga kini dia masih belum menetapkan sebarang tarikh.

Secara berseloroh, Fouziah berkata dia bersedia untuk berkahwin esok andai segala persiapan telah siapa dilakukan.

"Sebaik sahaja persiapan sudah lengkap, barulah saya akan menetapkan bila saya akan berkahwin. Buat masa ini tidak ada sebarang tarikh lagi yang ditetapkan.
"Apa yang pasti ia akan berlangsung pada tahun ini juga," ujarnya.

Di tebak adakah dia akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan majlis perkahwinannya kelak, Fouziah berkata : "Saya ada juga terfikir untuk mengadakan sidang media kerana mahu adil kepada semua pihak.

"Saya tidak mahu nanti maklumkan kepada wartawan A, wartawan B pula merajuk kerana lambat diberitahu. Jadi lebih baik buat sekali gus," katanya.


Bercinta selepas kahwin

Sedia maklum akan rasa tidak sabar peminat dan masyarakat untuk melihat dia ke jinjang pelamin, Fouziah berkata, dia dan tunangnya juga mengharapkan perkara yang sama.

Namun jelas Fouziah, biarpun peminat sering melihat dia bersama tunangnya setiap masa, namun hakikatnya mereka tidak pernah keluar bersama untuk temu janji.

"Biasanya jika kami keluar makan pun, ia adalah kerana urusan kerja dan sejak awal kami bersama, tidak pernah lagi kami mengaturkan sesi temu janji, di mana saya akan berpakaian cantik dan dia ambil saya di rumah.

"Jadi perkara itulah yang saya dan dia rancang untuk lakukan bersama selepas kahwin nanti. Ibarat bercinta selepas berkahwin," katanya.

Jelas Fouziah, biarpun sering dilihat bersama, mereka berdua masih menjaga batasan dalam perhubungan.

"Walaupun sering dilihat keluar bersama, saya dan Zhaf masih menitikberatkan pelbagai perkara agar tidak melanggar batas-batas agama kerana ikatan ini tidak semestinya kami bebas melakukan aktiviti bersama.

"Malah selalunya pun, pengurus saya akan menemani kami berdua, termasuklah ketika menghadiri majlis-majlis tertentu," katanya.


Kesal diserang


Kecanggihan teknologi masa kini memberi banyak pilihan kepada pengguna siber untuk mengambil gambar atau video dan seterusnya berkongsi kepada umum.

Begitu jugalah yang dilakukan oleh Fouziah baru-baru ini yang mengambil gambar menggunakan aplikasi kamera kesan cermin.

Hasilnya, mata, hidung dan mulut Fouziah kelihatan bercantum antara satu sama lain, sehingga mengundang komen negatif yang menyamakan wajahnya dengan Dajal.
Kesal dengan tuduhan melulu sesetengah pihak, bagi Fouziah, ia hanya sekadar gambar seperti kartun dan tidak sampai ke tahap menyamai wajah Dajal.

"Apa yang kita dimaklumkan Dajal wajahnya berbentuk segi tiga dan bermata satu, tetapi dalam gambar tersebut jelas nampak dua biji mata saya.

"Saya agak kesal kerana ada sesetengah pihak terus menyamakan gambar itu dengan dajal, walhal kita sendiri tidak pernah melihat dajal seperti apa rupanya dan dajal hanya bermata satu.

"Lagipun jika anda buat sendiri (mengambil gambar menggunakan aplikasi sama), anda juga akan mendapat hasil yang sama. Jadi tidak adil menyerang saya dengan tuduhan sedemikian," ujarnya penuh kesal.

Tidak berakhir di situ, Fouziah turut di tebak dengan kenyataan nakal sesetengah pihak yang merasakan dia semakin 'daring' semenjak bertunang.

"Jika anda kata saya 'daring' kerana baju yang saya pakaikan malam ini, saya harap anda jangan salah faham. Saya masih sama seperti sebelum ini dan tidak ada istilah 'daring' pun sebenarnya. Saya harap ia tidak akan diperbesarkan," jelasnya.