PRODUSER telefilem Cermin Kasih, Arie Azaharie sanggup  menanggung kerugian demi memastikan buah tangannya itu adalah yang terbaik.

Mengambil  pengarah kegemaran yang juga rakan karibnya, Murali Abdullah dengan pelakon handalan, Shaheizy Sam dan Tiz Zaqyah sebagai teraju utama dan menggunakan lebih 70 pelakon tambahan, Arie sanggup ‘berhabis’ untuk telefilemnya itu yang akan mengisi slot Cerekarama TV3, Sabtu ini, 9 malam.

Menurut Arie, jika sebelum ini dia hanya memperuntukkan  sebanyak RM25,000 untuk bayaran artis tetapi kali ini dia membelanjakan RM45,000.

“Kos juga banyak diperuntukkan untuk pelakon tambahan termasuk pengangkutan untuk mereka daripada Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Bentong, Pahang,  penginapan dan makanan.

“Ada pelakon tambahan yang terpaksa berada tiga empat hari di lokasi kerana membabitkan kesinambungan babak. Pelakon tambahan itu pula bukan saya ambil sembarangan  tetapi yang dilatih Murali sendiri menerusi Mastro Talent kerana walaupun mereka hanyalah ‘extra’ mereka berperanan menghidupkan jalan cerita, bukannya berdiri kaku macam kayu.

“Bagi menepati jalan cerita kisah pengedar dan penagih dadah, ia juga membabitkan ramai pegawai penjara dan pasukan polis.

“Untuk Cermin Kasih saya rela berhabis bajet demi kepuasan saya selaku penerbit dan saya yakin apa yang saya lakukan ini sangat berbaloi. Keserasian Sam dan Tiz sebagai suami isteri dengan jalan cerita yang menyayat hati di mana penderitaan seorang isteri yang terpaksa berada di sebalik tirai besi kerana menanggung kesalahan  suaminya, sedang hamil sehingga dia terpaksa melahirkan  dan membesarkan anak di penjara, ia akan meruntun perasaan penonton,” katanya.

Ilham kisah benar

Menurut Arie, Cermin Kasih yang diilhamkan Kip Adlie adalah berdasarkan kisah benar di mana wanita sering terperangkap dalam kasih sayang seorang  lelaki.

“Kip Adlie berpengalaman menelusuri kehidupan dan perasaan ditanggung wanita yang terpaksa merengkok di penjara akibat menjadi mangsa penganiayaan dan perbuatan sendiri.

“Apa pun kesilapan mereka lakukan dan angkara siapa, ia memberi kesan mendalam kepada sesiapa yang melihat penderitaan mereka. Kasihnya ibu, hanya dapat bercakap dengan anak mereka di sebalik cermin kerana anak yang dilahirkan dalam penjara hanya boleh bersama ibu mereka sehingga anak itu berusia tiga tahun.

“Sebab itulah telefilem ini diberi judul Cermin Kasih kerana Tiz hanya boleh bercakap dengan anaknya, Mariam, yang dibesarkan ibu bapanya  di sebalik cermin yang menjadi saksi kasih sayang dua beranak itu. Ciuman Tiz pada Mariam hanyalah menerusi cermin itu tanpa dapat merasakan kehangatan pipi anak kesayangannya itu ,” katanya.

Marina (Tiz Zaqyah) anak tunggal kepada Pak Hamdan dan Mak Jah  berkahwin dengan Amran (Saheizy Sam) atas pilihan keluarga. Rumah tangga mereka bahagia sehinggalah Marina mengetahui pekerjaan sebenar Amran. Namun dia dipergunakan Amran untuk pengedaran dadah. Saksikan Cermin Kasih, Sabtu ini jam 9 malam, di TV3.