SETELAH menyepi hampir 14 tahun, juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996, Alina Hassan akhirnya kembali ke dunia seni.

Tiga tahun selepas menjuarai pertandingan itu, Alina mendirikan rumah tangga dan meninggalkan dunia seni demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga.

Kembalinya Alina kali ini bukan dengan lagu baru, sebaliknya Alina telah menyertai pertandingan realiti Kilauan Emas Musim Ketiga.

Akui sudah lama berfikir untuk kembali menyanyi, Alina menyifatkan Kilauan Emas Musim Ketiga sebagai peluang yang terhidang di depan mata.

“Sebenarnya, saya memang nak buat ‘comeback’. Peluang ini (Kilauan Emas) datang tepat pada masanya.

“Mula-mula saya terfikir juga boleh ke saya masuk tapi lepas tengok syarat, saya layak,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada majlis memperkenalkan sepuluh peserta Kilauan Emas Musim Ketiga.

Antara syarat pertandingan terbitan Astro itu adalah mestilah berumur 40 tahun dan ke atas dari tarikh uji bakat diadakan, mestilah warganegara Malaysia ataupun Singapura, tidak pernah menjadi finalis Kilauan Emas Musim 1 dan 2 serta tidak mempunyai sebarang album rakaman dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Menafikan dirinya lebih yakin apabila menyertai pertandingan itu berbanding peserta lain ekoran pernah bergelar juara, Alina menjelaskan.

“Saya tak rasa pun ada peluang ke apa ke. Sebab saya dah lama tak menyanyi. Peserta lain pun ada yang juara Bintang Asli.

“Selepas berkahwin memang saya berhenti menyanyi. Saya sendiri yang nak fokus pada anak-anak bukan sebab ada larangan atau sebagainya,” katanya.

Alina pernah popular dengan lagunya, Dingin selepas muncul juara Sinaran Passport Kegemilangan pada tahun 1996.

Alina yang kini berusia 45 tahun bakal memulakan saingan dengan sembilan peserta lain di pentas Kilauan Emas Musim Ketiga, Rabu depan.

Sebuah kereta Grand Livina X-Gear dan wang tunai RM 50,000 menanti juara Kilauan Emas Musim Ketiga