GEORGETOWN - Tindakan Kerajaan Pulau Pinang menghalang Adun Kebun Bunga (PKR), Cheah Kah Peng untuk tidak memperakui permohonan mangsa banjir disifatkan sebagai tindakan tidak demokratik.

Adun Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu juga dilihat tidak menghormati pilihan rakyat dan janggal.

Menurutnya, Adun PKR merupakan wakil rakyat Kerajaan Pulau Pinang namun agak pelik apabila Kah Peng tidak dibenarkan memperakukan borang permohonan bantuan mangsa banjir yang dilancarkan kerajaan negeri itu.

"Saya tidak hairan jika Adun BN tidak diberikan kuasa memperakui permohonan itu, tetapi apabila Adun PKR sendiri juga tidak dibenarkan berbuat demikian, ia sesuatu yang agak janggal. Bukankah PKR adalah sebahagian dari Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang?

"Kenapa tugas yang sepatutnya dilaksanakan Kah Peng sebagai wakil rakyat Kebun Bunga diserahkan kepada Adun Pulau Tikus (DAP) pula? Adakah DAP Pulau Pinang sedang mengatur langkah untuk mengambil alih kerusi-kerusi Dun yang kini diwakili oleh PKR pada PRU ke 14 nanti?" katanya menerusi kenyataan media.

Beliau menambah, pentadbiran kerajaan negeri dibawah Guan Eng dilihat tidak boleh menerima kritikan yang mana, kritikan yang dibuat dianggap sebagai suara menentang kerajaan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng enggan ulas kenyataan Mansor]

"Mungkin itu yang berlaku ke atas rakan saya, Kah Peng yang diketepikan kerana mengkritik Guan Eng dalam Sidang Dun Pulau Pinang.

"Sebelum ini, Adun Penanti (PKR), Dr Norlela Ariffin juga diberi tekanan apabila beliau menimbulkan isu operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu dalam kawasannya," katanya.