GEORGETOWN - Orang awam dipelawa menghadiri temu duga terbuka pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) yang diadakan serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan IPD Seberang Perai Selatan pada 19 hingga 21 Okt ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata terdapat 108 jawatan kosong untuk diisi.

"Pasukan sukarelawan ini akan membantu menjalankan tugas-tugas polis seperti rondaan di khalayak ramai, perhimpunan dan kerja-kerja pejabat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah Jalinan Mesra SSPDRM di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, keanggotaan polis sukarela adalah sebanyak 1,072 orang dan penambahan lebih ramai anggota akan mempertingkat kawalan keselamatan di seluruh negeri.

Abdul Rahim berkata beliau akan turut mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia memperkenal skim lantikan kehormat kepada pengurus pusat beli-belah, pemimpin masyarakat dan guru disiplin sekolah di seluruh Pulau Pinang bagi menyahut seruan kerajaan dalam mencapai 10,000 SSPDRM di seluruh negara.- Bernama