TUNJANG - “Saya terkejut selepas menyedari suami saya yang bangun untuk menunaikan solat Subuh pada jam 3.30 pagi,” kata isteri mangsa yang menunjukkan perubahan sebelum menemui ajal ketika membakar jerami di Kampung Pida 3, kelmarin.

Isterinya, Che Ma Puteh, 57, berkata, sejak akhir-akhir ini arwah suaminya Yaacob Hussain@Chain, 72, tidak sihat memandangkan mempunyai penyakit kronik dan kebiasaannya hanya menghabiskan masa duduk di rumah sahaja.

Menurutnya, sebelum kejadian suaminya secara tiba-tiba berubah menjadi sihat dan memberitahunya untuk menyelesaikan kerja-kerja pembakaran jerami di sawah kerana khuatir hujan akan turun.

“Arwah memberitahu saya untuk ke sawah kira-kira jam 2 petang untuk melakukan kerja itu dan saya mencadangkan kepada arwah untuk mengupah orang lain menyelesaikannya namun dia tidak mengendahkan kerana katanya mereka lambat.

“Lebih kurang jam 5.45 petang saya menyedari arwah tidak pulang ke rumah dan memaklumkan kepada rakannya untuk mencari arwah di sawah kerana bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, waktu itu biasanya arwah menghabiskan masa untuk tidur di rumah dan sesekali mengajak rakannya yang lalu di hadapan rumah untuk bersembang di kedai kopi.

“Arwah sudah dua tahun tidak turun menguruskan kerja-kerja sawah berikutan penyakit kronik yang dihidapi akan mengganggu kesihatannya dan bertindak mengupah orang lain untuk menyelesaikannya.

“Untuk tahun ini, inilah kali pertamanya dia turun ke bendang untuk menyelesaikan tugas itu secara sendirian dan tidak menyangka ini juga kali terakhir buatnya,” katanya.

Baju disangka plastik

Rakan karibnya, Osman Mustafa, 55, berkata, selepas dimaklumkan Che Ma lebih kurang jam 5.45 petang dia bergegas ke sawah itu untuk mencari mangsa.

Menurutnya, setibanya di lokasi itu, dia mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa diletakkan di tepi jalan berhampiran sawah namun kelibatnya tidak kelihatan.

“Saya membuat keputusan untuk mencari di celah pepohon pisang di tengah sawah kalau-kalau ada mangsa berehat sekiranya sesak nafas disebabkan asap tebal ketika melakukan pembakaran itu sebaliknya tiada sesiapa di situ.

“Berulang kali saya memanggil namanya namun tiada sahutan dan kemudian saya nekad untuk mencari mangsa di seluruh kawasan kerana khuatir berlaku kejadian yang tidak baik kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hatinya mula berdegup kencang kerana mendapati tiada sesiapa di kawasan itu sehinggalah menjumpai sesuatu yang seakan-akan plastik berwarna biru.

“Bisik hati saya mengatakan dari mana datangnya plastik walhal padi baru dituai dan kemudian saya menghampiri benda tersebut. Alangkah terkejutnya apabila mendapati benda yang seakan-akan plastik itu adalah mangsa yang ketika itu dalam keadaan tertiarap.

“Sebelah kiri tubuhnya melecur akibat kesan terbakar. Kemudiannya saya segera memaklumkan kepada polis dan keluarga mangsa serta menunggu sehingga kes tersebut selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusuf, mengesahkan kejadian itu dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah berhubung kejadian tersebut.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa selamat dikebumikan berdekatan Masjid Kampung Pida 3,” katanya.