GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang didakwa didakwa hanya mendiamkan diri apabila isu rumah kos rendah yang dijadikan inap desa (Homestay) oleh pemiliknya tidak diambil sebarang tindakan walaupun perkara itu telah berulang kali dibangkitkan.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, isu berkenaan sudah berlanjutan sejak sekian lama malah aduan telah berulang kali dibuat oleh beberapa penghuni pangsapuri berkenaan yang tidak selesa dengan tindakan sesetengah pemilik kediaman yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menjelaskan bagaimana rumah kos rendah tersebut yang sepatutnya ditawarkan kepada golongan miskin boleh dijadikan inap desa oleh pemiliknya yang sudah tentu daripada golongan berkemampuan.

“Saya sebelum ini telah mendedahkan mengenai pemilikan unit rumah kos rendah oleh golongan kaya namun sehingga hari ini tiada tindakan yang diambil oleh Kerajaan Pulau Pinang.

“Sekarang rumah ini turut dijadikan inap desa sekali gus menunjukkan pembelinya tidak berminat pun untuk tinggal di situ yang dikhususkan kepada orang miskin.

"Jadi apa penjelasan kerajaan negeri berhubung perkara ini?” katanya ketika ditemui media di pekarangan Dun di sini, hari ini.

Terdahulu, Cheng Guan yang hadir bersama seorang penduduk rumah kos sederhana rendah menyerahkan memorandum berkenaan perkara itu kepada Exco Perumahan, Kerajaan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo yang diterima pegawainya, Fakhurrazi Ibnu Omar.

Sementara itu, penghuni pangsapuri berkenaan yang iuga orang kelainan upaya (OKU), K. L. Soh, 50, berkata, dia berasa terganggu selepas unit bersebelahan rumahnya dijadikan inap desa oleh pemiliknya.

Soh berkata, dia bimbang dengan keselamatannya serta keluarga selepas unit yang dijadikan inap desa tersebut disewakan kepada orang asing.

“Mereka yang menyewa inap desa itu pula bebas berbuat sesuka hati termasuk bising ketika tengah malam dan tidak mengurus sampah-sarap dengan baik sehingga menganggu jiran-jiran lain.

"Saya dan beberapa jiran lain sudah membuat beberapa aduan kepada pihak pengurusan dan kerajaan negeri sebelum ini namun sehingga kini pemilik berkenaan masih bebas mengiklan unit itu untuk disewa menerusi internet.