ALOR SETAR – Polis giat memburu suspek yang sanggup mengelar leher seorang ibu tunggal menggunakan senjata tajam dipercayai parang dalam satu insiden awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, pihak polis masih memburu suspek dan sedang mengenal pasti identitinya.
“Berdasarkan maklumat awal, kita mengesyaki mangsa mungkin mengenali suspek tersebut. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Ismail berkata, keadaan mangsa sehingga tengah hari tadi (semalam) masih belum sedarkan diri dan terpaksa dimasukkan ke dewan bedah kerana luka yang terdapat pada leher mangsa amat parah.

Katanya, kecederaan itu menyebabkan saluran pernafasan mangsa terjejas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, tindakan kejam penyamun tergamak mengelar leher seorang ibu tunggal menyebabkannya nyaris maut ketika tinggal sendirian di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun.

Menurut laporan itu, semasa kejadian, mangsa Jamaliah Ali, 55, tinggal seorang diri di rumah berkenaan setelah adiknya keluar menghantar anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Jiran mangsa hanya menyedari kejadian berlaku setelah mangsa yang cedera parah itu datang meminta pertolongan.