KANGAR - Aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope), Amri Che Mat, 43, yang hilang sejak 24 November lalu masih belum ditemui.

Rakan mangsa, Mohammad Faisol Abd Rahman,52, berkata, keluarga mangsa mengesyaki terdapat unsur jenayah membabitkan kehilangan Amri.

Mohammad Faisol yang juga jurucakap keluarga mangsa berkata, beberapa hari sebelum kehilangan Amri, jiran rumah mangsa ternampak beberapa kereta dan motosikal berlegar di kawasan rumah.

“Ketika malam kejadian juga terdapat saksi yang mendakwa melihat kereta Amri dikepung oleh beberapa buah kereta berhampiran rumahnya sebelum dia dilaporkan hilang,”katanya.  

Mohammad Faisol yang juga Ahli Perlis Hope berkata, isteri mangsa Norhayati Mohd Ariffin, 43, sudah membuat dua laporan polis berhubung kejadian itu.

“Amri merupakan seorang aktivis sosial dan kebajikan yang memperjuangkan nasib asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

“Bagaimanapun aktivitinya dalam Perlis Hope dikaitkan dengan ancaman ekstrimis oleh pihak-pihak tertentu,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Amri  tidak pulang ke rumahnya di Kangar setelah keluar bertemu rakannya.

Manakala kenderaan pacuan empat roda dinaikinya ditemui di tapak projek di kawasan Bukit Chabang, Perlis dalam keadaan mencurigakan.

Kenderaan jenis Toyota Fortuner berwarna hitam itu ditemui seorang pengawal keselamatan dalam keadaan cermin kiri dan kanan serta belakang dipecahkan.