GEORGETOWN - Seorang ustaz diperintah dibicarakan semula di Mahkamah Jawi, Seberang Perai Selatan atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar tingkatan tiga dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan Ismail Shafiee, 45, dibicara semula di hadapan majistret lain.

Zamani berkata keputusan majistret yang dibuat tanpa mempertimbangkan hujahan pembelaan di akhir pendakwaan adalah satu tindakan tidak adil dan melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan artikel berkenaan, setiap tertuduh mempunyai hak untuk dibicarakan secara adil di mana seseorang majistret perlu mendengar atau mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan di akhir pendakwaan dan pembelaan.

“Dalam semakan kehakiman ini, saya memutuskan bahawa kes Ismail dibicarakan semula di hadapan majistret lain di mahkamah sama,” katanya.

Pada 28 Disember lalu, Ismail diperintah membela diri atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Bakap, kira-kira jam 9 pagi, 9 Januari, 2011.

Mohamed Aznin membuat keputusan itu tanpa mengambil kira hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan di akhir penghujahan kes.

Difahamkan, pihak pembelaan menghantar hujahan lewat dari tarikh yang ditetapkan oleh majistret berkenaan. Ia diserahkan dan diterima dua minggu sebelum majistret membuat keputusan. 

Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Suhaimi Ibrahim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada lima anak itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala Ismail diwakili Jagdeep Singh Deo.