ALOR SETAR - Puluhan kain rentang menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sekitar bandaraya ini lesap dipercayai dicabut pihak tertentu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di sini kira-kira jam 1 pagi semalam, mendapati kain rentang yang mula dipasang sejak pagi kelmarin hilang.

Menurut sumber, perbuatan mencabut kain rentang itu telah dirancang awal dan dilakukan kumpulan anti Mukhriz akibat bimbang dengan sokongan yang diterima menteri besar itu.

Sabtu lalu, dalam tinjauan yang dilakukan Sinar Harian mendapati puluhan kain rentang yang menyatakan sokongan kepada menteri besar itu dipasang di kawasan beberapa jalan utama di sini dan sekitar Stadium Darulaman.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kain rentang sokong Mukhriz ]

Kebanyakan kain rentang yang dipasang mempertikaikan mengapakah menteri besar itu harus ditukar sedangkan rakyat di negeri ini masih memerlukan khidmatnya.

Antara ayat yang ditulis pada kain rentang yang ditemui seperti ‘Rakyat Kedah masih memerlukan Datuk Seri Mukhriz’, ‘Rakyat Kedah sentiasa Bersamamu’ dan ‘BN menang PRU 13 pasai Mukhriz, tiba-tiba nak tukaq dia pulak’.

Selain itu, satu lagi kain rentang yang digantung di persimpangan di antara Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Gangsa di sini ditulis ‘Sapa kata susah nak jumpa MB? Kami rakyat senang ja jumpa, rata dia dok pi’.