KUALA PEGANG - "Makcik dengar bunyi terbakar dan kayu jatuh, ingatkan orang bakar sampah, rupanya rumah sendiri terbakar,” kata Sayida Abdul Haai, 70, mangsa kebakaran di Kampung Seberang Titi, Kuala Pegang kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam bilik rumahnya.

“Makcik tak bau asap, cuma dengar bunyi terbakar, ingatkan jiran bakar sampah. Bila makcik keluar, tengok bahagian atas rumah dah terbakar.

“Makcik terus lari dan minta bantuan,” katanya.

Kediaman dua tingkat itu turut dihuni oleh seorang anaknya, Mohd Kalim Fateh Mohamed bersama dua cucunya.

Menurutnya, ketika kejadian, anak bersama cucunya itu keluar ke pekan dan hanya dia berada di rumah itu semasa kejadian.

“Api terlalu marak, tak sempat nak selamat apa-apa. Banyak harta benda, dokumen termasuk wang ringgit musnah,” katanya.

Lebih menyedihkan persiapan raya termasuk pakaian semuanya hangus dalam kejadian itu.

Difahamkan, rumah dua tingkat itu terbakar hampir 80 peratus berikutan angin kuat selain struktur atas kediaman itu dibuat daripada kayu.

Kebakaran dikawal dalam masa setengah jam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling, Bomba Sukarela Kuala Pegang termasuk bantuan penduduk.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada penghuni rumah itu.

Pemangku Pegawai Bomba Baling, Che Said Abu Bakar berkata, punca kejadian masih disiasat.