ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersedia menghantar anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) negeri itu ke Nepal yang dilanda gempa bumi baru-baru ini.

Timbalan Pengarahnya Awang Hidzel Awang Bujang berkata pasukan Storm Kedah terdiri daripada 11 anggota telah bersedia dan hanya menunggu arahan untuk dikerah ke negara itu.

"Sekiranya, khidmat Storm diperlukan dan arahan untuk bergerak ke sana dikeluarkan, pada bila-bila masa sahaja kami akan bergerak untuk memberikan bantuan," katanya kepada pemberita ketika merasmikan Sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat negeri Kedah hari ini.

Sementara itu beliau berkata jumlah panggilan kecemasan di Kedah bagi Januari hingga April tahun ini menunjukkan penurunan kepada 1,119 panggilan yang diterima berbanding 3,086 panggilan bagi tempoh sama tahun lepas.

Awang Hidzel berkata penurunan panggilan kecemasan itu berkemungkinan disebabkan faktor cuaca kerana pada tahun lepas kes kebakaran meningkat ekoran cuaca panas dan kering.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 42 pasukan bomba sukarela yang aktif dengan jumlah keahlian 1,314 orang di Kedah.

Katanya, pasukan bomba sukarela banyak membantu kerana mereka berada lebih dekat dengan masyarakat, membolehkan mereka tiba lebih awal di lokasi kebakaran untuk memberikan bantuan.

Pihaknya kata beliau, menyediakan pelbagai latihan kepada anggota bomba sukarela termasuk pengetahuan berkenaan cara-cara bertindak apabila berdepan dengan situasi kecemasan. - Bernama