KUALA TERENGGANU - Terengganu bakal mempunyai sebuah lagi hospital swasta apabila Hospital Salam beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Datuk Toh Chin Yaw berkata hospital setinggi empat tingkat itu yang kini dalam proses akhir untuk disiapkan, terletak di Jalan Batas Baharu di sini.

"Mereka kini sudah dalam persiapan terakhir baik dari segi ubah fizikal bangunan dan pengisian bekalan perubatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Karnival Sihat bersama komuniti dan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Jusoh.

Toh bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai projek itu sama ada kos atau jumlah katil pesakit.

Terengganu kini hanya mempunyai sebuah hospital pakar iaitu Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di Jalan Kamaruddin di sini. KTS, milik Terengganu Develoment Management (TDM) iaitu anak syarikat kerajaan negeri Terengganu itu mula beroperasi pada September 2006.

Beliau berkata pada masa ini permintaan perkhidmatan perubatan adalah tinggi dan ramai di kalangan rakyat Terengganu mendapatkan rawatan bukan sahaja di luar Terengganu tetapi juga di luar negara.

"Kami percaya dengan banyak hospital yang kita ada, sekaligus akan meningkatkan jumlah doktor pakar di negeri ini," katanya.

Toh berkata selain hospital itu, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya akan mewujudkan sebuah lagi hospital pakar di Kijal, Kemaman bernilai lebih kurang RM50 juta.

"Kami rasa tempat itu (Kijal) ada potensi besar untuk membangunkan satu pusat kesihatan terutama untuk pelancong," katanya.

Sementara itu Dr Mohd berkata karnival sihat bertujuan meningkatkan kefahaman berkaitan kepentingan amalan hidup sihat itu, akan diteruskan ke empat lokasi iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut. - Bernama