KUALA TERENGGANU- Tanggungjawab seorang abang adalah menjaga dan membela nasib adik, namun bertukar sebaliknya apabila seorang penganggur tergamak memaksa adiknya menyara hidupnya dengan memberi RM20 setiap hari.

Tertuduh, Mohd Amin Ariffin, 32, dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh, di sini, bersikap kejam dengan mengamuk sambil mengacukan pisau ke arah adiknya apabila gagal memberikan jumlah wang berkenaan yang menjadi rutin sebelum ini.

Bagaimanapun, sikap tidak bertanggungjawab Mohd Amin menerima pembalasan selepas Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadapnya.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Amin mengaku dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya Mohd Abd Ariq Ariffin, 21, pada 29 Mei lalu, lebih kurang jam 5 petang di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, di sini.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, adiknya yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan enggan menyerahkan wang seperti mana kebiasaannya disebabkan tidak tahan lagi menanggung abang yang enggan bekerja.

Berlaku pertengkaran mulut antara dua beradik itu sebelum Mohd Amin bertindak keras dengan mengambil pisau di dapur dan mengamuk di kawasan kedai sambil mengugut akan mengancam keseluruhan ahli keluarga mereka termasuk kedua ibu bapanya.