KUALA NERUS - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan aset terkumpul berjumlah RM560 juta daripada keseluruhan 700 koperasi yang berdaftar di negeri ini pada tahun lalu.

Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Terengganu, Mohd Solehin Ramli@Yusof berkata, aset yang terkumpul itu meliputi keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan yang dijalankan serta pelaburan daripada ahli koperasi itu sendiri.

"Secara keseluruhan kita berpuas hati dengan koperasi-koperasi yang kita ada ketika ini tetapi tidak dapat dinafikan ada juga yang tidak aktif.

"Kita dapati masalah koperasi yang tidak aktif ini berpunca daripada tiada hala tuju lalu mengakibatkan tiada perniagaan yang dijalankan selepas ia ditubuhkan dan akhirnya ia tergantung.

"Jadi kita nasihatkan koperasi-koperasi ini merancang dengan teliti bentuk atau operasi yang ingin digerakkan oleh koperasi masing-masing supaya ia bergerak dan menghasilkan keuntungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring Terengganu Berhad di SK Tok Jiring, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring Terengganu Berhad, Muhammad Ramli Nuh serta 100 ahli lain yang terdiri ibu bapa dan guru sekolah berkenaan.

Menurut Mohd Solehin, tahun lalu direkodkan kira-kira 100 koperasi di negeri ini yang dikenal pasti tidak aktif.