KEMAMAN - Keseronokan dua pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang memancing bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Kampung Geliga Che Akob, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, Che Mohammad Sayuti Che Jusoh, 20, yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi sejurus dinaikkan dari dasar longkang.

Sebelum kejadian, mangsa dan rakannya, Mohd Syafiq Yusni, 21, dikatakan memancing di dalam longkang besar terbabit yang terletak tidak jauh dari rumah sewa mereka.

Bagaimanapun, Mohd Syafiq berkata, ketika Mohammad Sayuti berdiri di tepi longkang terbabit untuk membetulkan tali pancing yang kusut, secara tiba-tiba rakannya itu tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang setinggi dua meter.