DUNGUN - Seorang penumpang maut selepas tercampak keluar dari Perodua Alza dalam satu nahas jalan raya di Kilometer 96.5 Jalan Kuantan- Kuala Terengganu, Paka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, perodua Alza yang dalam perjalanan dari arah  Kemaman ke Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan dan terbabas.

Kenderaan tersebut masuk ke arah laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Van sebelum berpusing.

Mangsa seorang perempuan yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar dari tingkap kenderaan dan mengalami kecederaan parah.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Dungun.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan pemandu van yang tersepit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.