MAK LAGAM - Seorang pesakit buah pinggang yang dalam perjalanan ke Hospital Kemaman untuk melakukan dialisis maut setelah kereta dipandunya terbabas melanggar tiang elektrik.

Gara-gara perlanggaran itu, kereta dipandu mangsa, Idris Ibrahim, 61, turut melekat pada tiang elektrik dan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 7.50 pagi kelmarin di Kilometer 28.8 Jalan Mak Lagam-Cheneh, di sini.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang juga peneroka Felda Cerul 2 dalam perjalanan dari rumahnya ke Hospital Kemaman dan memandu kereta Proton Waja bersendirian.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan ke sebelah kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik dan mangsa maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya.