KUALA TERENGGANU - Bazar Ramadan merupakan antara tempat yang sering menjadi perhatian orang ramai sepanjang Ramadan terutama masyarakat Islam dalam memudahkan penyediaan juadah berbuka puasa kepada keluarga.

Tumpuan orang ramai untuk menikmati dan merasai makanan di bazar Ramadan menyebabkan ramai pihak terutama peniaga sedia ada dan juga mereka yang ingin menambahkan pendapatan pada bulan puasa ini juga tidak melepaskan peluang berniaga di bazar-bazar.

Bagaimanapun, segelintir peniaga lebih memberi tumpuan untuk mencari keuntungan dan pendapatan sampingan berbanding memberi produk berkualiti sehingga menyebabkan makanan dan minuman yang dijual tidak memenuhi selera pelanggan dan juga tercemar yang boleh menyebabkan keracunan dan menjejaskan kesihatan pengguna yang menjadi isu setiap kali menjelang Ramadan.

Melalui tinjauan Sinar Harian di sekitar bazar Ramadan di Kuala Terengganu, tahap kebersihan di beberapa tempat masih terkawal namun beberapa perkara masih perlu dipertingkatkan untuk memastikan semua aspek diberi perhatian.

Sebahagian peniaga masih dilihat bersikap lewa dalam aspek penjagaan kebersihan makanan apabila juadah yang dijual dibiarkan terdedah walaupun sekali sekala peniaga dilihat menghalau lalat yang cuba hinggap pada makanan.

Makanan yang dibiarkan terbuka dan terdedah berjam-jam mungkin berjaya dihinggapi lalat sekiranya peniaga terleka yang boleh menyebabkan keracunan makanan selain debu-debu di persekitaran mengundang pencemaran sekali gus menjejaskan standard kebersihan makanan.

Ada juga yang masih tidak memakai peralatan sebagaimana arahan pihak berkuasa bagi menjamin kebersihan makanan seperti pemakaian apron, penutup kepala dan sarung tangan.

Perkembangan ini perlu diberi perhatian pihak berkuasa bagi memastikan peniaga tidak menjadi agen penyebar bakteria khususnya makanan melalui sentuhan tangan akibat sikap peniaga yang tidak menggunakan sarung tangan atau penyepit.

Sehubungan itu, penguatkuasaan berterusan mampu memastikan peniaga menjamin kualiti makanan supaya isu keracunan yang boleh menjejaskan kesihatan dan ibadah serta mengundang kematian boleh dielakkan.

Bagaimanapun, sebahagian besar peniaga masih lagi mengambil berat terhadap tahap kebersihan di tapak jualan masing-masing dan mematuhi aspek kebersihan diri, gerai serta penyediaan makanan.

Sudah ramai yang mengenakan apron, penutup kepala sebagaimana arahan dikenakan dan sebahagiannya turut memakai topeng muka, mengambil berat soal kebersihan di gerai masing-masing termasuk kawasan tempat meletak makanan dan minuman.

Apa yang penting, peniaga perlu memastikan aspek kebersihan diberi perhatian secara menyeluruh sehinggalah hari terakhir Ramadan bagi memastikan mereka menjual makanan berkualiti dan bukan hanya memperoleh keuntungan malah kepuasan kerana menyediakan kemudahan juadah untuk umat Islam berbuka puasa.