KUALA TERENGGANU -  Akibat terlupa memadam api dapur, seramai 12 orang daripada dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua  rumah dihuni mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Losong Mat Shafie, di sini, malam semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu disedari salah seorang penghuni rumah, Wan Mohd Illias Abdul Razak, 30-an, yang sedang berehat di dalam bilik sebelum terhidu bau asap.

Wan Mohd Illias berkata, sejurus menyedari rumah sudah terbakar, dia bergegas memapah ibunya, 74, yang uzur keluar dari rumah.

Katanya, dia mengesyaki api bermula dari bahagian dapur rumah kerana sebelum ini ibunya sering terlupa memadam api ketika memasak.

"Saya rasa sebelum kejadian ibu ada panaskan lauk di dapur dan masuk ke dalam rumah menonton televisyen.

"Mungkin terlalu asyik, dia terlupa dan memang sebelum ini, sudah banyak kali perkara ini berlaku, ibu selalu terlupa memadamkan api setiap kali memasak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa,  Wan Zaini Wan Jusoh, 50-an, berkata, meskipun kehilangan tempat tinggal, tetapi dia tetap bersyukur kerana keluarganya selamat memandangkan rumahnya dihuni 10 orang  termasuk  seorang  anaknya Orang Kurang Upaya (OKU).

"Saya hanya sedar kebakaran berlaku selepas ternampak api sudah menjulang ke atas atap rumah, dan sejurus itu, saya hanya ingat nak selamatkan anak-anak terutama anak OKU sahaja,".

"Pada mulanya saya sangkakan api berpunca daripada kanak-kanak yang bermain mercun berhampiran rumah tetapi Wan Mohd Illias (jiran) memberitahu ibunya lupa memadam api di dapur," katanya.

Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat  dari Balai Kuala  Terengganu dan Jalan Kota bersama 20 anggota  tiba di lokasi kebakaran  jam 9.15 malam.

Menurut Penolong Penguasa Bomba, Mohd Izwan Bashir,  pihaknya mengambil masa 20 minit untuk memadamkan kebakaran.

"Kita dapati faktor rumah separuh kekal daripada kayu ini menjadi punca api cepat merebak ke rumah berhampiran.

"Dalam kejadian ini juga, seorang mangsa dikenalpasti mengalami kecederaan ringan di bahagian mukanya kerana terkena percikan api " katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian dan kerugian yang ditanggung akibat kejadian.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian meskipun kami dimaklumkan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa yang ibunya lupa memadam api di dapur," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut turun padang meninjau lokasi kejadian berkata, Kerajaan Negeri akan menghulur bantuan membina semula rumah bernilai keseluruhan RM100,000 bagi kedua-dua buah keluarga terlibat.