KAMPUNG RAJA - Lebih 50 peratus daripada 33 individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di negeri ini sejak Januari hingga semalam, membabitkan penjawat awam.

Pengarahnya, Mohd Zaki Hassan berkata, penjawat awam merupakan individu yang paling ramai ditangkap SPRM Terengganu kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan rasuah.

Menurutnya, 38 kertas siasatan dibuka membabitkan individu terbabit dan daripada jumlah itu, 31 pertuduhan telah dan akan dibuat di mahkamah.

Katanya, statistik tersebut menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan dan pertuduhan yang ketara berbanding sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak 15 tangkapan dan 18 tuduhan sahaja.

“Pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) oleh SPRM pada Ogos lalu antara penyumbang kepada peningkatan tersebut di negeri ini apabila masyarakat turut memainkan peranan penting.

“Bagaimanapun statistik itu menunjukkan keadaan rasuah di negeri ini masih terkawal  namun kita akan terus meningkatkan program pencegahan untuk meminimumkan perbuatan rasuah pada masa akan datang sebab kalau masalah rasuah serius, rakyat di negeri ini juga yang rugi.

“Rakyat akan menerima kesan seperti segala bantuan atau program oleh kerajaan pusat atau negeri yang sepatutnya sampai, tidak sampai atau sepatutnya sampai penuh tetapi sampai separuh sahaja kepada golongan sasar,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Larian Anti Rasuah (Balloon Run) Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM), hari ini.

Hadir sama, Pengarah IPGKSM, Dr Mohd Aziz Mat Din dan Ketua Wilayah 6 Kelantan dan Terengganu Bank Rakyat, Azman Abd Aziz.

Dalam pada itu Mohd Zaki mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pengurusan IPGKSM kerana menyokong dan bekerjasama dengan SPRM apabila berjaya mendaftarkan seramai 1,137  ahli GERAH dalam tempoh sehari, hari ini.

Menurutnya, IPGKSM merupakan institusi pendidikan tinggi di negeri ini yang pertama menubuhkan GERAH dan berjaya mendaftarkan ahli dalam jumlah tinggi dalam masa singkat.