MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tegas menafikan dakwaan pemimpin Pas Terengganu bahawa tawaran permohonan 5,900 lot tanah kosong untuk pembinaan rumah kediaman kepada rakyat meniru manifesto parti pembangkang itu.

“Kerajaan BN tidak pernah meniru manifesto Pas yang hanya tahu berjanji tetapi tidak mampu mengotakannya, sedangkan kerajaan BN terbukti melaksanakannya demi membela nasib rakyat memerlukan,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Parlimen Marang di sini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang mendakwa kerajaan negeri menabur janji manis PRU14 dengan mengumumkan tawaran permohonan 5,900 lot tanah kosong untuk pembinaan rumah kediaman.

“Terpulang kepada mereka, soalnya pada hari ini mereka baru berjanji (manifesto) tetapi kerajaan negeri (BN) sudah melaksanakannya. Tahun lepas sudah keluar kenyataan saya dalam akhbar menyatakan rancangan yang kita hendak buat.

“Sedangkan kenyataan kita (itu) pada tahun lalu sebelum manifesto yang Pas itu dilancar lagi. Jadi soalnya pada hari ini, kita tidak payah berbalah mengenai perkara ini. Tidak timbul siapa tiru siapa,” katanya pada majlis dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff itu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, agenda dan keutamaan kerajaan negeri adalah membantu rakyat serta melaksanakan perkara  baik untuk kepentingan masyarakat termasuk menyediakan kemudahan perumahan dan tanah kepada yang berkelayakan supaya dapat memiliki kediaman sendiri.

“Saya meminta kepimpinan pembangkang supaya sama-sama memberi idea yang baik bagi membantu kerajaan kerana itu yang lebih baik kerana soalnya sekarang bagaimana kita mahu membantu rakyat dan inilah yang sedang Kerajaan BN laksanakan.

“Bagi saya tiada masalah, mana-mana pihak yang ada idea dan juga cadangan yang baik supaya kemukakan kepada kerajaan, sebab itulah kerajaan negeri sekarang turun ke setiap  daerah  berasaskan prinsip inklusif untuk mendapatkan idea bagi pembentangan bajet untuk 2018,” katanya.

Ahmad Razif berkata, rakyat berdaftar di bawah e-kasih dan menepati syarat pula hanya perlu membayar dengan kadar nominal RM100 dan seterusnya kerajaan akan membantu membina rumah menerusi program pembangunan rakyat termiskin (PPRT).

Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah membangunkan lebih 10,000 unit rumah mampu milik dan kesemuanya sudah diagihkan kepada pemohon yang layak.

Beliau berkata, agenda menawarkan lot tanah itu juga sebagai kesinambungan daripada kebajikan dan bantuan menyediakan perumahan untuk rakyat.

“Bagaimanapun kaedahnya ditransformasikan dengan menawarkan tanah supaya golongan layak dapat membina rumah dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Perumahan Rakyat 1Malaysia di tanah berkenaan,” katanya.