KUALA TERENGGANU - Aktiviti Persatuan Ibu Tunggal Kuala Nerus dijangka lebih rancak apabila mereka menerima bangunan baharu bernilai RM250,000 tidak lama lagi.
   
Pengerusinya Fatimah Rubiah Abu Bakar berkata pembinaan bangunan itu hampir siap dan kelak akan menempatkan empat persatuan ibu tunggal dari dewan undangan negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Kuala Nerus.
   
"Pembinaan bangunan itu dilaksana tahun lepas setelah diluluskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ketika beliau melawat Kuala Nerus tidak lama dulu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
   
Bangunan baharu di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal itu akan memudahkan mereka mengatur aktiviti bersama persatuan ibu tunggal Dun Bukit Tunggal, Seberang Takir, Tepuh dan Teluk Pasu yang selama ini bergerak secara berasingan, katanya.
   
"Ketika ini kita di Dun Seberang Takir, kita ada kelab dengan menyewa sebuah rumah di Bukit Tok Beng di sini. Di situ kita menjalankan aktiviti menjahit pakaian sekolah untuk dibekalkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Di situ kita ada empat ibu tunggal yang menjahit pakaian berkenaan. Namun kita bergantung kepada tempahan dari Maidam, sekiranya tempahan banyak kita akan gunakan lebih ramai tukang jahit dari ahli kelab," katanya.
   
Fatimah Rubiah berkata persatuannya juga mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi menjalankan aktiviti yang lebih berfaedah.
   
Katanya ketika ini di Kuala Nerus terdapat kira-kira 3,000 ibu tunggal yang masing-masing bergerak secara bersendirian kerana tidak mempunyai tempat untuk menjadi pusat bagi kegiatan mereka. - Bernama