DUNGUN - Sebuah keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Felda Kerteh 6, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, kediaman warga dihuni Midin Ismail, 68 bersama lima lagi ahli keluarga lagi tiba-tiba terbakar tanpa diketahui punca.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS)  Bandar Ketengah Jaya, Ramli Mat berkata, seramai lapan anggota PBS dan 17 anggota bomba dari balai Paka serta Kerteh dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

"Kita terima panggilan kecemasan pada jam 3.45 pagi dan bergegas ke lokasi. Api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 5.05 pagi.

“Jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.