SETIU  - Kecintaan mendalam terhadap batu permata bukit Malaysia menjadi faktor utama seorang ahli perniagaan melabur ratusan ribu ringgit untuk mengumpul pelbagai jenis batuan berharga itu.

Zulkifli Dorahim, 47, sanggup membelanjakan sehingga RM10,000 semata-mata untuk membeli sebiji batu permata bukit yang diminatinya.

Menurutnya,  beliau memiliki lebih 200 koleksi batu  bermula dari harga RM2,000 hingga RM10,000 sebiji yang dibeli terus daripada pencari atau pengukir batu permata di sekitar pantai timur.

“Saya mula jatuh cinta pada batu permata bukit sejak sepuluh tahun lalu iaitu bermula dari sedikit dan sekarang makin bertambah,” katanya yang berasal dari Kampung Bintang, Bandar Permaisuri, di sini.

Batu permata bermotifkan batu dalam batu antara menjadi koleksi Zulkifli.

Zulkifli berkata, ciri-ciri menarik pada batu tersebut  menyebabkan hatinya tertawan kepada batuan yang tertanam di perut bumi itu.

Menurutnya, ada dua lokasi yang mempunyai batu permata bukit berkualiti tinggi dan buruan di Terengganu dan Kelantan.

“Kalau di Terengganu, batu permata bukit yang tersohor adalah yang diperolehi di kawasan hutan Pelagat, Jertih, Besut manakala di Kelantan adalah di Jeli.

“Di Pelagat mempunyai batu permata  memiliki pelbagai warna di samping mempunyai pelbagai motif dan harganya mencecah puluhan ribu ringgit sebiji manakala di Jeli terkenal dengan batu permata kecubung,” katanya yang mengendalikan syarikat kontraktor selenggaraan di Lumut, Perak.

Lubuk batu permata di Besut, Setiu

Zulkifli memberitahu lagi, lokasi lain yang dianggap lubuk batu permata di daerah Besut dan Setiu ialah di Bukit Bintang,  Bukit Batu Kajang dan Gunung Tebu.

Zulkifli yang meraih hadiah tempat kedua menerima hadiah daripada Shaharizukirnain.

Menurutnya, terdapat dua kategori orang meminati batu permata iaitu kerana keunikan dan kecantikannya manakala kategori seterusnya adalah kerana unsur mistik.

“Walaupun beliau meminati batu permata bukit hanya kerana kecantikan tetapi beliau tidak menafikan batu permata mempunyai aura atau inergi tersendiri dan ia terbukti daripada aspek saintifik.

“Manakala  motif (imej) dalam batu permata bukit antara yang menentukan harganya seperti ada batu yang mengandungi air di dalamnya dipanggil air bergolek, kalimah Allah dan pelbagai imej lain,” katanya.

Ujarnya, beliau pernah ditawarkan oleh seorang ahli perniagaan untuk membeli sebiji batu permata bukit Jeli miliknya dengan harga RM45,000,  namun beliau tidak mahu menjualnya.

Tubuh Kelab Batu Permata Pantai Timur

Menurutnya, lantaran minat mendalam terhadap batuan itu juga mendorong beliau bersama rakan-rakannya menubuhkan Kelab Batu Permata Pantai Timur  baru- baru ini.

“Kelab ini dipimpin oleh seorang pengusaha atau pengukir batu permata terkenal di negara ini, Johan Mustaffa, 51, juga dari Kampung Bintang.

“Ini adalah kelab yang kedua di Malaysia selepas Perlis bertujuan mengumpul peminat batu permata bukit di samping berkongsi koleksi dan ilmu,” katanya.

Pengunjung tertarik melihat batu permata yang dipamerkan dalam pertandingan di Kampung Bintang.

Kata beliau, kelab telah mengambil pendekatan proaktif dengan menganjurkan Pertandingan Batu Permata Terbuka Pantai Timur 2018 yang dirasmikan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir bertempat di Kampung Bintang, di sini pada Sabtu lepas.

Jelasnya, pertandingan julung kali dianjurkan kelab itu telah  menarik penyertaan seramai 100 pengumpul batu permata dari beberapa negeri mengambil bahagian tiga kategori yang dipertandingan.

“Kategori batu bukit Malaysia yang dipertandingan ialah motif dan objek batu, Keliauan batu dan warna  manakala kategori ketiga adalah batuk arkik,” katanya.

Zulkifli berkata,  walaupun hadiah tidak lumayan tetapi maklumbalas yang diperolehi oleh peserta amat positif.