KUALA TERENGGANU – Penjawat awam yang  menjadi calon bagi PRU14 selepas menghantar borang pencalonan pada hari penamaan Sabtu lalu perlu meletakkan jawatan masing-masing selaras dengan prosedur ditetapkan oleh perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ia amalan biasa bagi penjawat awam yang menjadi calon dan setakat ini beliau tidak mempunyai jumlah sebenar kakitangan awam yang akan bertanding pada 9 Mei depan.

“Ini (jumlah) saya kena rujuk kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), sesiapa yang ingin bertanding kena letak jawatan,” katanya selepas hadir Majlis Amanat KSN bersama Penjawat Awam Terengganu  yang dihadiri lebih 2,000 kakitangan awam di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Melalui perjumpaan itu Dr Ali  memberi penerangan tentang pencapaian negara keseluruhan secara berfakta dan manfaat diperolehi rakyat bagi memberi kefahaman kepada kakitangan awam.

Beliau berkata,  Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada dalam landasan betul dengan pencapaian negara sama ada aspek pembangunan, ekonomi mahupun sosial  begitu memberangsangkan.

“Tiada sesiapa yang teringgir atau tertinggal dalam pembangunan negara. Kalau kita lihat dalam bajet tahun 2018 semua kumpulan sasar dapat manfaat daripada kerajaan.

“Agihan hasil negara juga menyeluruh kepada semua pihak. Hasil yang dipungut dari GST, LHDN, Kastam sebenarnya diagihkan semula kepada rakyat melalui Brim dan peruntukan dalam sektor seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Selain perjumpaan dengan kakitangan awam Terengganu, Dr Ali turut menghadiri Program Jualan Sentuhan Rakyat di Batas Baru sebelum bergerak ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menghadiri program Ziarah Kebajikan Puspanita.