SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan isu kenaikan cukai pintu membabitkan penduduk Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang akan selesai dalam tempoh sebulan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, sekurang-kurangnya isu itu dapat diselesaikan dalam masa sebulan bergantung kepada jawatankuasa khas pendengaran yang ditubuhkan Kerajaan Negeri.

"Kalau boleh dalam masa sebulan hingga sebulan setengah, atau sehingga isu ini difahami semua pihak terutamanya cara pengiraan dan penilaiannya,” katanya dalam sidang media di Wisma MBSA semalam.

Menurutnya, beliau yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan baik sekiranya semua pihak memahaminya memandangkan kadar taksiran kategori perindustrian di kawasan MBSA lebih rendah berbanding beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor.

Beliau berkata, perubahan aktiviti di Kampung Baru Sungai Buloh yang kini majoriti melaksanakan aktiviti perindustrian menyebabkan kadar taksiran sebelumnya mengikut kategori pertanian (1.0 hingga 2.0 peratus), kini mengikut kategori perindustrian (7.0 hingga 7.5 peratus).
 
“Kadar kategori industri diguna pakai MBSA sejak 2006 dan kadar taksiran mengikut lain-lain kategori kegunaan juga tidak dinaikkan sejak 2006. MBSA boleh melakukan semakan nilaian mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).  


“Ia berdasarkan kepada perubahan status kegunaan tanah dari tanah pertanian (kosong) kepada tanah industri, tanah kosong didirikan bangunan, serta perubahan keluasan lantai bangunan akibat penambahan bangunan sama ada untuk kegunaan perindustrian, bengkel mahupun pejabat,” katanya.

Kadar ikut kegunaan tanah

Mohd Jaafar berkata, semakan nilaian pengenaan cukai taksiran di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh dilakukan MBSA tahun ini dan didapati banyak bangunan baru didirikan, malah terdapat juga perubahan kepada kegunaan bangunan serta kediaman yang dibina bangunan kilang.
 
Oleh itu katanya, cukai taksiran meningkat berdasarkan kepada perubahan ke atas kegunaan tanah dan aktiviti pada masa ini.  

“Bagi lot-lot tanah pertanian yang masih lagi menjalankan aktiviti pertanian,  cukai taksiran masih kekal seperti dahulu dan tiada perubahan nilaian,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MBSA menerima rintihan lebih 80 penduduk kampung terbabit yang datang bersama ketua kampung masing-masing bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Kita tidak tahu berapa ramai yang terlibat, kita akan dengar semua sebab yang bagusnya dua ketua kampung terbabit sendiri datang ke MBSA bersama ahli majlis.

“Kami dengar penjelasan mereka, ada yang memberitahu kilang mereka kosong tiada penyewa. Jadi, kita minta mereka isi borang khas yang disediakan sebagai bukti. MBSA akan bayar balik 70 peratus. Kita akan bantu mereka semua,” katanya.

Adakan dua sesi dialog

MBSA menjalankan dua sesi dialog sepanjang 2012 bagi menjelaskan kepada penduduk terutamanya pemilik tanah di Kampung Baru Sungai Buloh berhubung kenaikan tersebut. Sesi pertama pada 2 Februari 2012 di Kampung Baru Sungai Buloh dan 19 Oktober 2012 di Wisma MBSA yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.