RAWANG - “Kakak, saya nak balik. Saya rindu mak dan ayah,” demikian kata-kata terakhir Muhammad Atuf Ahmad Dohha, 10, kepada kakaknya Umu Hani, 17 beberapa jam sebelum ditemui mati lemas ketika sedang mandi di Hutan Lipur Bukit Lagong, Selayang, Sabtu lalu.

Muhammad Atuf yang lebih mesra dipanggil Atuf adalah penghuni Rumah Kasih Sayang Bandar Baru Tasik Puteri manakala kakaknya dan seorang lagi adik mereka, Fatin, 6, turut tinggal di situ.

Menurut guru Rumah Kasih Sayang Bandar Baru Tasik Puteri, Zainab Nasip, 42, pada hari kejadian, dia bersama beberapa lagi guru rumah kebajikan berkenaan mengambil kesempatan cuti panjang sempena Hari Malaysia untuk ke hutan lipur tersebut.

Menurutnya, seramai 13 penghuni berumur dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun turut dibawa diiringi dua guru dan seorang pembantu.

"Sebelum bertolak kami berhimpun di depan rumah. Ketika itu kakak arwah, Umu Hani, datang membawa adik mereka, Fatin untuk bertemu Atuf.

“Sebaik berjumpa, arwah memeluk erat adiknya dan memberitahu kakaknya, Umu Hani dia rindu nak jumpa mak dan ayah mereka.

“Umu Hani menenangkan arwah dan berjanji mereka semua akan pulang ke rumah tak lama lagi," katanya.

Zainab berkata, selepas itu mereka terus bertolak ke hutan lipur berkenaan dengan menaiki van dan tiba di sana kira-kira jam 2 petang.

"Sewaktu sedang leka mandi, tiba-tiba hujan turun dan saya minta semua pelajar naik ke tebing supaya mereka dapat makan tengah hari dulu. Masa itu saya nampak Atuf pun ada dan turut naik ke tebing," katanya sambil memberitahu mereka kemudian menyambung aktiviti mandi-manda selepas hujan berhenti.

Bagaimanapun keseronokan mereka terganggu sekali lagi apabila hujan turun semula pada jam 4 petang.

"Sekali lagi saya minta semua murid naik ke tebing. Pada waktu itu ramai perasan Atuf tak ada dan dalam keadaan panik kami mula mencarinya," katanya.

Menurutnya, ketika sedang asyik mencari Atuf di sekitar kawasan itu, mereka ternampak beberapa kereta polis di pondok berdekatan sungai berkenaan.

Zainab berkata, dia bersama guru pengiring yang lain pergi ke situ dan terkejut melihat keadaan Atuf.

“Arwah dijumpai oleh orang ramai yang mandi di sungai tersebut kira-kira jam 5 petang dan dia disahkan meninggal dunia sewaktu dibawa ke Hospital Selayang," katanya.

Sementara itu, ayah kepada Atuf, Ahmad Dohha Jaafar, 49, berkata, dia redha dengan pemergian anaknya.

"Kali terakhir saya jumpa Atuf Februari lalu. Arwah anak yang baik, dia selalu bantu adik-beradiknya buat kerja rumah," katanya yang bekerja sendiri di Temerloh, Pahang.