SHAH ALAM - Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor diingatkan agar tidak berlagak seolah-olah jaguh yang kononnya mempertahankan hak pelajar serta mewakili Universiti Selangor (Unisel).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian susulan kenyataan Rizal yang menggesa Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengemukakan bukti proses timbang tara di mahkamah berkaitan pertikaian bayaran kepada bekas sebuah syarikat kontraktor Unisel.

Beliau berkata, Rizal perlu berhenti bercakap bagi pihak Unisel kerana perbuatan itu sangat menjengkelkan.

"Pihak Unisel sendiri yang terlibat dengan proses penyelesaian pertikaian ini sudah memutuskan di peringkat Lembaga Pengarah untuk terus berbincang dengan semua pihak berkepentingan. Pada masa ini, kita dan bekas syarikat kontraktor tersebut sudah tidak ada hubungan kontrak.

"Jika betul dia mahu jadi jaguh, jawablah isu-isu berkenaan 1MDB, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan sebagainya. Berjuta orang terkesan dengan setiap skandal yang terpalit dengan 'bos beliau'," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Terdahulu, Rizal mempersoalkan bilakah proses timbang tara dilakukan antara Unisel dengan syarikat kontraktor terlibat, selain mahu identiti individu terlibat serta dokumen-dokumen berkenaan timbang tara dikemukakan.          Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, di peringkat Unisel, dengan barisan pimpinan baharu dan sokongan kerajaan negeri Selangor terhadap agenda transformasi universiti, pelbagai perubahan positif sudah boleh dilihat.

"Kewangan Unisel kian kukuh dan pada tahun ini juga setiap pekerja Unisel dinaikkan gaji setelah lima tahun tidak berganjak.

"Infrastruktur universiti juga diberi suntikan baru melalui dana kerajaan negeri Selangor yang menunjukkan komitmen kita untuk membantu menaiktaraf kualiti universiti itu," katanya.