Operasi serentak polis, JPAM, Rela laksanakan rondaan
Oleh:
Wartawan Sinar Harian
Tarikh: February 22, 2012
KUALA SELANGOR – Seiring hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantapkan aktiviti membanteras jenayah di seluruh negara, tiga agensi penguat kuasa daerah ini berganding bahu melaksanakan Operasi Bersepadu 1Malaysia di empat kawasan tumpuan orang ramai secara serentak, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad berkata, tiga gabungan tenaga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kuala Selangor menjalankan rondaan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.
“Operasi 1Malaysia yang dilaksanakan KDN ini mampu menambah kehadiran anggota pihak berkuasa ke kawasan tumpuan sekali gus meningkatkan tahap keselamatan orang ramai di Kuala Selangor, Tanjong Karang, Saujana Utama dan Bestari Jaya.
“Operasi kolaborasi rondaan omnipresence ini adalah selaras dengan komitmen kementerian berkaitan peranannya kepada rakyat iaitu mengurangkan kadar jenayah dan menggerakkan gelombang kesukarelaan
“Saya berharap kadar jenayah dapat dikurangkan secara berperingkat setelah pelaksanaan operasi ini memandangkan rondaan akan sentiasa diadakan setiap hari sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak.
“Kita akan memperluaskan rondaan ini di setiap kawasan tumpuan jika mendapat sambutan yang menggalakkan dan mampu mendekatkan anggota polis dan sukarelawan dengan penduduk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, Pegawai Rela Daerah Kuala Selangor, LT Kolonel Kamal Kasron berkata, pihaknya sentiasa menyambut baik segala usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam menjamin keselamatan penduduk melalui rondaan yang melibatkan anggota Rela.
“Rela di daerah ini sedia memberikan khidmat, masa dan tenaga untuk menjayakan setiap operasi yang dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah jalanan,” katanya.