KUALA LUMPUR - Saranan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng agar Kementerian Wilayah memberi tumpuan terhadap penyediaan rumah kos rendah berbanding Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) disokong beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan ia wajar diberi perhatian.

Presiden Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PPKMKL), Hussen Zulkarai berkata, dia bersetuju dengan cadangan berkenaan memandangkan lebih ramai warga kota yang memerlukan kediaman yang sewanya lebih rendah.

Menurutnya, projek perumahan awam (PPR) yang dibeli namun tidak dihuni oleh pemilik akan menyebabkan penyewa baharu akan menanggung kos sewa yang jauh lebih tinggi daripada yang ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Warga kota memerlukan kediaman mampu milik yang harganya jauh lebih rendah berbanding harga Rumawip sekarang. Walaupun bertaraf rumah kos rendah, namun dengan kemudahan yang lebih baik, pada saya ia memadai asalkan ramai yang mampu memiliki kediaman.

"Tawaran kediaman itu juga harus difokuskan kepada penyewa PPR sedia ada yang berkemampuan agar mereka dapat berpindah ke unit yang dibeli. Jadi unit asal yang disewa boleh ditawarkan kepada orang lain yang layak dan hanya mampu menyewa.

"Dalam masa sama, DBKL juga perlu membuat bancian setiap tahun terhadap penduduk PPR untuk menilai tahap kemampuan mereka sekeluarga,"katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, bagi Setiausaha Kerja Pertubuhan Kebajikan Mesra Rakyat Kuala Lumpur, Yusniza Mohamed Yusoff, kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan menyebabkan ramai yang berhasrat membeli Rumawip tidak dapat melakukannya.

Katanya, perkara itu menyebabkan ramai yang terpaksa terus menyewa, ditambah pula dengan kadar sewa yang tinggi di ibu kota menyebabkan warga kota lebih terbeban.

"Untuk dapat rumah sewa murah memang susah. Jadi ada yang sewa dengan pemilik PPR dengan harga yang tinggi,"katanya.

Semalam Lim Lip Eng menggesa Kementerian Wilayah memberi tumpuan semula terhadap penyediaan projek perumahan rakyat (PPR) atau kediaman kos rendah berbanding rumah mampu milik untuk membantu golongan miskin bandar.

Katanya, keperluan unit kediaman yang boleh disewakan dengan harga rendah lebih mendesak berbanding pemilikan rumah mampu milik memandangkan ramai pasangan tidak mampu membeli Rumawip.

Beliau juga menyarankan agar penjualan PPR tidak diteruskan dan kembali pada tujuan asal ia dibina. Ini kerana pemilikan PPR mengundang pelbagai isu termasuk urusan penyelenggaraan dan kes sewa kepada warga asing.