KUALA LUMPUR - Pengurusan kuil Batu Caves hari ini mendesak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pemaju Dolomite Park Avenue supaya menghentikan segera semua kerja pembangunan kondominium 29 tingkat berhampiran pusat beribadat masyarakat Hindu yang popular itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Batu Caves, Datuk R. Nadarajah berkata, pihaknya mengambil pendirian itu kerana bimbang jika projek tersebut diteruskan akan menjejaskan struktur rumah ibadat yang terletak kurang 100 meter dari tapak projek.

"Kita akan meminta MPS dan pihak pemaju supaya menghentikan kerja-kerja pembangunan dalam tempoh satu bulan sebelum pihaknya mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang projek tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan satu protes aman di pekarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam di Batu Caves dekat sini, hai ini.

Turut hadir pemimpin-pemimpin MIC termasuk bekas Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Projek itu dilaksanakan di sebelah kanan kawasan kuil.

Katanya, Isnin ini beliau akan berbincang dengan jawatankuasa kuil dan mendapatkan nasihat guaman serta pihak alam sekitar sebelum tindakan undang-undang diambil ke atas semua pihak yang bertanggungjawab termasuklah MPS, pemaju dan Kerajaan Negeri Selangor.

Seramai 300 penyokong kuil Batu Caves hadir menyatakan bantahan projek itu sambil memegang sepanduk yang tertera ungkapan "Stop".

Dakwa Nadarajah lagi, pihaknya tidak pernah dimaklumi MPS sama ada melalui surat mahupun lisan tentang projek perumahan mewah itu sehinggalah beliau mengetahuinya sendiri setelah terlihat papan tanda projek itu diletakkan berhampiran kuil tersebut.

"Patung Lord Murugan tertinggi di dunia itu akan diancam kemusnahan disebabkan tapak cadangan projek kurang 300 kaki (100 meter).

"Jika diteruskan projek itu, keindahan alam sekitar dan hidupan liar dalam kawasan batu kapur ini akan terancam malah pelancong juga akan terdedah kepada terkena objek yang jatuh dari tapak projek dan boleh mencederakan mereka," ulasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Selangor, A. Kohilan Pillay berkata, kelulusan projek terbabit dikeluarkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu pada 26 Jun 2008.

"Kerajaan Negeri harus bertanggungjawab di atas perkara ini kerana kelulusan dikeluarkan setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor," katanya yang turut menghadiri pertemuan hari ini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, kelulusan merancang projek itu dikeluarkan pada 2007, namun kerajaan negeri tidak patut lepas tangan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, kelulusan pemasaran dan jualan unit kondo itu pula dikeluarkan pada Julai lepas.

Dalam pada itu, Samy Vellu yang turut hadir pada protes aman itu menegaskan, dalam hal ini menyalahkan mana-mana pihak tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya pihak kuil harus mengambil tindakan mahkamah menghalang terus projek itu daripada menjejaskan tapak warisan negara dan ekologi persekitrannya.

"Kita akan minta Datuk S. Subramaniam untuk campur tangan dan menghantar memorandum sokongan menghentikannya," katanya.