SHAH ALAM - Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd, pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan melaksanakan lencongan lorong kanan bagi kedua-dua arah di bahagian tengah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Pusat Kebajikan Good Shepherd.

Kerja-kerja lencongan ini akan bermula jam 12.00 tengah malam Isnin, 27 November 2017 dan dijadual berakhir pada Khamis, 28 Februari 2019 untuk memberi laluan kepada aktiviti pemasangan cerucuk, struktur dan rasuk bagi pembinaan SUKE di Seksyen 24.7 sehingga Seksyen 25.2, MRR2.

Langkah-langkah keselamatan seperti pemasangan kon keselamatan, papan tanda, penghadang plastik dan konkrit akan ditempatkan di kawasan terbabit. Di samping itu, Emergency Response Team (ERT) akan bertugas 24 jam bagi menghadapi sebarang kecemasan.

Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati dan mematuhi arahan kakitangan di kawasan kerja serta papan tanda yang diletakkan di sekitar kawasan terbabit.