KUALA LUMPUR - Penghuni flat Taman Sri Kuching di sini gempar apabila mendapati tujuh buah motosikal dan sebuah kereta hangus terbakar di kawasan perumahan mereka pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata kejadian kira-kira 4 pagi itu dipercayai bermotifkan khianat dan polis sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab.

"Kita sedang mengenal pasti suspek dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di tempat kejadian agar menghubungi balai polis berdekatan," katanya kepada Bernama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata bomba menerima panggilan dari orang ramai kira-kira pukul 4.54 pagi mengenai kebakaran sebelum berjaya  memadamkannya 20 minit kemudian.

Jumlah kerugian sebenar sedang ditaksir, katanya.

Seorang mangsa Meoh Bee Leong, 52, berkata beliau terdengar jeritan  jiran-jiranya semasa kejadian dan segera bergegas untuk melihatnya.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya tidak dapat menyelamatkan kereta saya kerana api sangat marak. Saya tidak mengesyaki sesiapa kerana ia mungkin perbuatan khianat dan sebelum ini pernah juga terjadi kejadian yang sama di taman ini," katanya.- Bernama