RAWANG - Rutin harian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini, terganggu apabila setiap hari terpaksa berdepan najis lembu di hadapan pintu pagar sekolah.

Masalah itu berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab pemilik lembu yang melepaskan haiwan peliharaannya saban malam di kawasan itu.

Tindakan itu menimbulkan kurang selesa guru, pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berkenaan.

Bapa pelajar, Tarmizi Lutfi, 43, berkata, dia menggesa pihak berkaitan, terutama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyiasat pemilik lembu dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan terhadap lesen menjalankan operasi secara sah atau tidak kepada pemilik ternakan yang menggunakan kawasan lapang berhampiran sekolah.

“Pemilik lembu itu perlu dikenakan tindakan kerana membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan sekolah dan taman perumahan sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Kita juga bimbang kesihatan pelajar terjejas sekiranya ada jangkitan pelbagai wabak penyakit” katanya kepada Sinar Harian.

Tarmizi turut tidak berpuas hati apabila saban hari perlu hidu busuk dan berdepan najis haiwan tersebut di merata jalan.

Penduduk, Mohd Shafie Taslim, 46, berkata, inisiatif membina jalan pintasan berhampiran dilakukan bagi memudahkan pelajar supaya mereka tidak perlu melalui jalan jauh untuk pergi dan pulang ke sekolah.

“Peringkat awal jalan pintasan itu adalah untuk memudahkan pelajar tetapi tidak menyangka kini ia menjadi tempat haiwan berkenaan berkeliaran.

“Meskipun tapak sekolah tersebut yang baru dibuka tahun lepas adalah hutan, namun itu tidak boleh dijadikan alasan oleh pemilik untuk melepaskan haiwan tersebut ke kawasan berkenaan,” katanya.

Difahamkan, nasihat dan teguran ada diberikan kepada pemilik lembu terbabit supaya tidak melepaskan ternakannya di kawasan itu, bagaimanapun ia tidak diendahkan malah haiwan berkenaan masih terus berkeliaran seperti biasa.

Oleh itu, Mohd Shafie menggesa campur tangan pihak berkaitan bagi menyelesaikan permasalahan itu untuk keselesaan bersama.