SHAH ALAM – Beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air sementara disebabkan kerja-kerja dijalankan kontraktor Syabas dan pihak ketiga, antara 11 dan 14 Mac ini.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, ia melibatkan kerja pengalihan paip Syabas 250 di Jalan Sungai Lalang Kampung Sungai Macang, Semenyih yang membabitkan 2,258 akaun pengguna terjejas.

“Gangguan berlaku pada 11 Mac jam 10 malam hingga 3 pagi keesokan harinya. Kawasan terlibat ialah Taman Sri Haneco, Kawasan Perindustrian Villa Raya, Kawasan Perindustrian Semenyih High Tech, Taman Semenyih Impian, Taman Permata dan  Kampung Pasir.

“Turut terlibat, rumah murah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Sungai Pening, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Semenyih, Nirwana Semenyih dan rumah kampung di sepanjang Jalan Sungai Lalang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pada 13 Mac bermula jam 10 malam, sejumlah 3,135 akaun di kawasan sekitar Taman Kajang Perdana, Taman Sri Damai, Taman Sakap, Taman Sri Jelok, Taman Jelok Ria, Taman Kajang Ria, Taman Restu dan Taman Jelok Indah akan mengalami masalah gangguan sama.

“Masalah itu akan berakhir pada 14 Mac. Ia disebabkan kerja-kerja pengalihan paip Syabas di Taman Sri Jelok, Kajang,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna agar menyimpan bekalan air sekucupnya serta menggunakan secara berhemah.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252.