SELAYANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut terjatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Mawar Selayang Mulia, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, dalam kejadian jam 1.40 tengahari itu mangsa, Muhammad Nazirul Nasyat Mat Isa ditemukan telah meninggal dunia oleh orang awam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang bermain bersama rakan di tingkat sembilan ke tingkat sepuluh.

"Rakan mangsa berusia enam tahun dikatakan masuk ke rumah manakala mangsa tidak dapat dikesan sehinggalah dijumpai di bawah bangunan dan telah meninggal dunia.

"Siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasat lanjut diteruskan," katanya.