Taun di Bintulu terkawal

BINTULU - Kemunculan penyakit taun di sini pada 14 Julai adalah terkawal, kata Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Dr Jerip Susil hari ini.

Beliau berkata setakat semalam, Jabatan Kesihatan Sarawak dimaklumkan tentang 722 kes yang disyaki taun.

"Semua kes yang disyaki, dimasukkan ke hospital. Satu kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pesakit telah pulih sepenuhnya. Jumlah mereka yang dimasukkan ke wad setakat 7 Ogos (semalam) ialah 302.

"Daripada 110 kes positif, 50 mempunyai gejala seperti cirit-birit, manakala 60 tidak mempunyai sebarang gejala. Daripada 110 kes itu pula, 21 adalah pengendali makanan yang menjadi pembawa bakteria taun," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan, jabatan itu memerintahkan pengendali kedai terbabit membersihkan tempat perniagaan masing-masing dan menutup sementara perniagaan mereka.

Katanya kualiti air di Bintulu kini dipantau setiap masa dan Lembaga Air Kawasan Utara (Laku) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan tahap kandungan klorin di dalam air yang dibekal ke kawasan terjejas.

Dr Jerip menasihati orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kedatangan sambutan Aidilfitri supaya tidak berlaku jangkitan penyakit itu berikutan pergerakan manusia pada musim perayaan.

Laporan menyebut bahawa penyakit itu muncul selepas tiga kumpulan peserta Regatta Bintulu dari Rumah Gawan, Kampung Jepak dan Kampung Hilir di Sebauh, Bintulu, menggunakan air Sungai Kemena untuk mencuci pinggan mangkuk, ikan dan tangan masing-masing.

Regatta Bintulu berlangsung dari 6 hingga 8 Julai. - Bernama